Lagi misi PASRelief untuk Rohingya minggu depan

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Nasib para pelarian Rohingya yang sedang menyelamatkan diri dari kezaliman Junta Tentera Myanmar serta sekutunya sejak Ogos lalu terus diberi perhatian serius Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) di mana akan melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan berikutnya ke Kem-kem Pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh pada 8 hingga 12 Oktober depan.
 
Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, misi yang bakal disertai 19 anggota delegasi itu akan berfokus untuk menyalurkan bantuan mendesak terhadap keperluan makanan dan asas kehidupan lain khususnya melibatkan para pelarian baharu tiba ke Bangladesh di mana kini sudah mencecah 500,000 orang.
 
Menurutnya, PASRelief merancang mengedarkan pakej bahan makanan asasi kepada 3,000 keluarga dengan keutamaan diberi kepada ibu tunggal yang mempunyai ahli keluarga ramai, anak yatim yang menumpang keluarga lain, orang tua dan ibu-ibu dengan bayi di mana agihan ini dijangka menelan kos RM130,000.
 
PASRelief juga maklumnya akan menguruskan projek pembinaan antara 40 hingga 50 telaga tiub (tubewell) sebagai sumber air bersih untuk kegunaan pelarian di kem-kem yang baru dibuka, kerana ketiadaan sumber air bersih bakal mendedahkan pelarian kepada penyakit bawaan air tercemar akibat daripada penggunaan air parit dan longkang untuk minuman, mandi dan mencuci.
 
“Program ‘tubewell‘ ini menjadi fokus utama delegasi PAS Pahang yang akan turut serta dalam misi PASRelief kali ini diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar. Projek ini dianggarkan memerlukan kos sekitar RM50,000 dan sumbangan orang ramai masih diperlukan melalui wakaf ataupun derma. Sebuah ‘tubewell‘ menelan kos antara RM850 hingga RM1,000.
 
“PASRelief juga akan membina 10 bilik darjah yang boleh menampung 400 pelajar pada misi kali ini. Buat permulaan kita akan bina dulu bangunan asas, dan keperluan berikutnya seperti buku, peralatan mengajar dan elaun guru akan disumbangkan kemudian. Kos bangunan asas bilik darjah adalah sekitar RM2,000 seunit,” terangnya.
 
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menyatakan, kos untuk mengendalikan sebuah kelas sekolah rendah dengan jumlah 40 murid bersama seorang guru di kem pelarian adalah sekitar RM10,000 setahun, di mana PASRelief juga telah mengadakan persetujuan melibatkan para graduan Chittagong International Islamic University melalui pertubuhan Ittihad al-Tullab Muslimin (ITM) bagi membekalkan guru dan menyediakan kurikulum selaras keperluan pendidikan anak-anak pelarian Rohingya.
 
Beritahu Sanusi, bangunan musolla dan masjid menjadi struktur penting untuk disediakan segera bagi para pelarian sebagai pusat ibadat, berkumpul, belajar dan bermesyuarat, selain akan menjadi tempat anak-anak pelarian mendapatkan pendidikan akademik dan belajar al-Quran pada waktu ia tidak digunakan untuk solat berjemaah.
 
“Kos musolla berukuran 20′ x 40′ dianggarkan RM6,000. PASRelief merancang membina 10 musolla pada kali ini dengan anggaran kos RM60,000. Tandas, bilik mandi wanita dan keperluan kebersihan diri amat penting di kem-kem pelarian. PASRelief akan membina beberapa set tandas, bilik mandi wanita dan mengagihkan barangan kebersihan diri khas kepada wanita dan kanak-kanak dalam misi kali ini.  
 
“Program kemudahan asas ini dianggarkan akan menelan kos sekitar RM30,000. Walaupun rancangan misi kemanusiaan kali ini masih jauh daripada mencukupi, usaha mengumpulkan sumbangan rakyat Malaysia akan diteruskan oleh PASRelief sepanjang masa bagi melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan dan kewajipan agama kepada saudara Muslim Rohingya yang terperosok dan terhimpit di kem-kem pelarian sekitar Cox’s Bazaar.
 
“Delegasi PASRelief kali ini akan diketuai sendiri oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man  dan beberapa orang AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya Negeri. Turut serta ialah Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Timbalan Pengarah, PASRelief, Ustaz Norazli Musa,” maklum beliau merangkap Pengarah Operasi misi kali ini.
 
Harakah juga katanya, turut menghantar dua orang wartawan untuk membuat liputan, selain wakil daripada kumpulan media KAMI Terengganu dan sumbangan orang ramai terus dialu-alukan untuk menjayakan misi kali ini yang boleh dibuat kepada akaun Tabung Kemanusiaan Antarabangsa Maybank 5640 7061 1352.
 
- Advertisement -