Biarlah Fastaqim 2.0 bawa suatu lonjakan perubahan buat OKU

- Advertisement -

SAYA telah berpeluang menyertai dialog langsung antara para pimpinan NGO bersama YB DS TG Haji Abdul Hadi Awang di Golf and Country Resort, Kuala Terengganu yang telah dianjurkan pada 9 Muharam, 29 September. Dalam dialog yang diadakan tersebut, saya telah mengambil peluang untuk mendapatkan pandangan YB DS TG berkaitan penglibatan golongan OKU dalam proses pembuat keputusan dan politik dalam negara.

- Advertisement -

Dalam satu hadith kursi, Allah S.W.T telah pun berfirman:

فقال : قال الله تعالى : ” إذا ما أخذت كريمة عبدي لم أجد له بها جزاء إلا الجنة

“Apabila kemuliaan dicabut dari seseorang hambaku (dijadikan cacat), tidak ada balasan yang selayak buatnya melainkan syurga”.

Begitu pula dalam Surah Abasa, Allah S.W.T telah berfirman:

وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ,

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)!

أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكْرَىٰ,

Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (Surah Abasa: 3-4)

faizalDari dua penegasan di atas, saya pohon pandangan dari YB TG. Atas prinsip betapa Allah S.W.T meletakkan suatu kemuliaan khusus kepada golongan OKU. Dalam pada itu, golongan OKU itu haruslah dibangunkan atas asas ilmu.

Demikian pula, sirah telah membuktikan betapa golongan OKU punyai peranan yang sangat besar sebagaimana digambarkan melalui ketokohan Saidina Abdullah ibn Ummu Maktum. Bukan hanya pembabitan beliau dalam gerak kerja dakwah dan tarbiah, ia juga terlibat langsung dalam hal ehwal pentadbiran Madinah tiap kali baginda Rasul Allah S.A.W terlibat dalam ghazwah.

Kehebatan tamadun Islam dalam membangunkan OKU khususnya dalam aspek penglibatan OKU itu dalam proses pembuat keputusan dan politik kini diiktiraf dunia. Misalnya incheon strategy sangat memberi penekanan betapa OKU itu perlu terlibat dalam proses pembuat keputusan dan politik dalam negara.

Saya pohon pandangan dari YB DS TG Haji Abdul Hadi, apakah situasi sirah ini meskipun suatu keadaan ideal, ia masih tetap relevan dalam suasana semasa.

Berikut saya kongsikan pandangan YB DS TG Haji Abdul Hadi yang boleh saya fahami atas lontaran yang saya kemukakan:

Islam sememangnya meletakkan suatu asas yang sangat kukuh dalam hal ehwal orang kurang upaya. Pelbagai pengiktirafan yang ditunjukkan oleh Islam kepada golongan ini melalui sahabat baginda Rasul Allah S.A.W.

Surah Abasa yang memperihalkan kisah Saidina Abdullah ibn Ummu Maktum tetap relevan sepanjang zaman. Bahkan Al-Quran dan seluruh sumber syara’ itu tetap relevan pada sepanjang waktu.

Sirah telah membuktikan betapa Islam sangat memandang kepada keupayaan golongan orang kurang upaya. Ini disebabkan dengan kehilangan sebahagian dari anggota atau disifatkan cacat, mereka menjadi lebih teliti dalam apa sahaja yang dilakukan.

Ada golongan yang dikatakan berupaya (normal) namun dalam banyak hal ia kurang upaya (lebih teruk dari orang kurang upaya). Ada pun golongan orang kurang upaya, mereka punya keupayaan dan keistimewaan-keistimewaan yang tersendiri walaupun hilang sebahagian anggota, yang disebut cacat. Ini terbukti dalam sirah nabawiyah.

Misalnya Nabi S.A.W menyuruh sahabat-sahabatnya berhenti makan sahur sebaik Saidina Abdullah ibn Ummu Maktum melaungkan azan. Saidina Abdullah ibn Ummu Maktum lebih fokus dalam kerja-kerja yang dilakukan termasuklah dalam menentukan waktu masuknya solat Subuh.

Sewaktu zaman pemerintahan Saidina Umar Al-khatab, ganjaran-ganjaran tertentu telah diberikan kepada para sahabat. Sahabat yang digelar sebagai Al-Badri iaitu yang terlibat dalam perang Badar mendapat kedudukan dan imbuhan yang lebih berbanding sahabat-sahabat lain.

Begitu pula, sahabat-sahabat yang digelar sebagai As-Sabiqun iaitu mereka yang awal memeluk Islam mendapat kedudukan yang lebih istimewa berbanding sahabat-sahabat yang terkemudian memeluk Islam. Salah seorang sahabat yang digelar As-Sabiqun dan mendapat perhatian khusus ini adalah seorang orang kurang upaya iaitu Saidina Abdullah ibn Ummu Maktum.

Dalam hal pentadbiran Madinah, sememangnya Rasul Allah S.A.W turut memberi tanggungjawab kepada sahabat baginda iaitu Saidina Abdullah ibn Ummu Maktum, walaupun seorang orang kurang upaya. Dalam hal ini, Saidina Abdullah ibn Ummu Maktum menyempurnakan tanggungjawabnya dalam suatu system syura dan berjemaah, maknanya ia bukanlah bersendiri.

Ia menunjukkan Islam meletakkan faktor keupayaan ilmu pada seorang yang kurang upaya mengatasi kecacatan atau kurang upaya yang ada pada dirinya. Bila ia berilmu dan punyai kelayakan, ia harus dimanfaatkan sama untuk gerak kerja pembangunan dan pembinaan sahsiah insan itu sendiri.

Sebagaimana tauladan dari sirah Rasul Allah S.A.W, Saidina Abdullah ibn Ummu Maktum terlibat langsung dalam syura-syura peringkat pentadbiran Negara Madinah.

Pun begitu, Islam tetap pula memberi keringanan dan perlepasan tanggungjawab perjuangan bagi mereka yang kurang upaya. Firman Allah S.W.T yang berbunyi:

لَّيْسَ عَلَى الْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْمَرِيضِ حَرَجٌ وَلَا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَن تَأْكُلُوا مِن بُيُوتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ آبَائِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أُمَّهَاتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ إِخْوَانِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَخَوَاتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَعْمَامِكُمْ أَوْ بُيُوتِ عَمَّاتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَخْوَالِكُمْ أَوْ بُيُوتِ خَالَاتِكُمْ أَوْ مَا مَلَكْتُم مَّفَاتِحَهُ أَوْ صَدِيقِكُمْ ۚ لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَأْكُلُوا جَمِيعًا أَوْ أَشْتَاتًا ۚ فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ, 

Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki, atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya, atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya. (An-Nur: 61)

Sangat menarik, dalam perlepasan yang diberikan, bila orang kurang upaya itu terlibat dalam perjuangan dan gerak kerja Islam, kelebihan istimewa menantinya sebagai ganjaran dari Allah S.W.T.

Demikianlah sekilas perkongsian yang dapat saya nukilkan di sini sebagai panduan untuk kita menyeralahkan kehebatan Islam dalam menyantuni golongan orang kurang upaya. Kian hari, golongan kurang upaya kian berhadapan pelbagai cabaran dan isu yang kompleks.

Moga pencerahan dari YB DS TG Haji Abdul Hadi ini memberi rangsangan untuk kita istiqamah dengan perjuangan yang berasaskan Tauhid. Islam telah pun punyai khazanah yang sangat sempurna untuk diolah bagi kepentingan seluruh masyarakat.– HARAKAHDAILY 1/10/2017

- Advertisement -