Fastaqim suntik kebersamaan rakyat dengan PAS

- Advertisement -
KUALA NERUS: Fastaqim 2.0 yang berlangsung di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus ternyata menarik minat pelbagai lapisan masyarakat mengunjunginya.
 
Pengunjung yang datang bertali arus seawal dua hari sebelum program berlangsung jelas memberi signal bahawa PAS kekal diterima rakyat.
 
Sedangkan sebelum ini, terdapat suara-suara sumbang mengejek kononnya PAS tidak lagi mendapat sokongan rakyat.
 
Dari tinjauan diadakan, pengunjung yang datang dari seluruh Malaysia terdiri pelbagai umur dari kanak-kanak hinggalah ke warga emas.
 
Punidha a/p Subramaniam, antara pengunjung yang sempat ditemui bual oleh Harakah.
 
Beliau memaklumkan, kehadirannya ke Fastaqim 2.0 kali ini adalah kerana ingin melahirkan sokongan terhadap PAS, satu-satunya parti yang dipercayai beliau.
 
Jelasnya, PAS sebuah parti yang tidak mendiskriminasikan kaum dan agama lain serta menghormati hak-hak agama lain.
 
“Saya yakin, andainya PAS diberi peluang mentadbir Malaysia, semua kaum, bangsa dan agama akan terbela.
 
“Ini kerana agama Islam adalah agama yang bersifat universal dan saya yakin selamat di bawah pemerintahan Islam,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua Wanita DHPP Perak.
 
Beliau juga tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan yang mengatakan PAS akan kehilangan sokongan dari bukan Islam apabila PAS bertindak memutuskan hubungan politik bersama DAP.
 
Kerana baginya tindakan yang dibuat oleh PAS itu memang tepat di mana kaum bukan Islam menyokong PAS bukan kerana DAP, tetapi atas keyakinan PAS mampu membela semua kaum.
 
Malah ujarnya, undang-undang Islam yang menjadi cita-cita PAS untuk mendaulatkannya, sedikit pun tidak mengganggu keharmonian masyarakat bukan Islam.
 
Sementara itu, Mohd Ashraf Shahirin, 18 tahun, penduduk tempatan dari Seberang Takir, berpendapat momentum anak-anak muda bersama PAS bukan cerita rekaan lagi.
 
Sekarang ini anak-anak muda menunjukkan minat yang begitu ketara untuk bersama PAS kerana dilihat konsisten membawa Islam serta bersifat terbuka.
 
“Pemimpin Malaysia sekarang yakni BN ternyata gagal membawa hala tuju golongan muda.
 
“Apa yang dilihat, mereka lebih mementing dan memberi fokus untuk lulus periksa tetapi gagal membina golongan muda yang bersyaksiah Islam,” ujar beliau penuh semangat.
 
Merasa bertuah kerana Fastaqim 2.0 diadakan di Terengganu, sebagai anak muda beliau juga mengharapkan agar PRU14 nanti akan membawa perubahan kepada landskap politik Malaysia.
 
Ibu muda yang mempunyai lima orang anak, Aini Fariza Sumairi dari Semenyih, Selangor, 37 tahun, beranggapan Umno-BN tidak membawa apa-apa perubahan terbaik untuk masa depan generasi akan datang.
 
“Kita digemparkan dengan pelbagai jenayah melibatkan anak-anak remaja dan yang di bawah umur.
 
“Malah perkembangan masalah sosial dan keruntuhan akhlak semakin meningkat dan ini sangat digeruni oleh para ibu bapa khususnya seperti saya yang mempunyai anak-anak yang masih kecil,” ujar beliau.
 
Sementara itu beliau mengharapkan agar dalam pilihan raya akan datang, kuasa pemerintah berpihak kepada PAS agar Islam dapat didaulatkan untuk menyelamatkan masa depan rakyat.
 
Fastaqim 2.0 memberi petunjuk kesatuan jitu sokongan terhadap PAS dan mengharapkan membawa gelombang kebangkitan rakyat terutama menjelang PRU14 nanti. – HARAKAHDAILY 30/9/2017
 
- Advertisement -