Beri perhatian faktor kepimpinan

- Advertisement -
KUALA NERUS: Walaupun sudah lebih 60 tahun merdeka, tetapi negara ini masih terumbang ambing disebabkan antara faktornya kerana kualiti pimpinan yang ada.
 
Timbalan Pengerusi Kongres Rakyat, Mustafa Kamil Ayub berkata, kepimpinan adalah perkara penting setiap manusia yang akan dipertanggungjawabkan.
 
“Oleh kerana itu, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berhikmah dan berkualiti untuk memimpin negara dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai sifat ini.
 
“Ini terbukti apabila Tuan Guru bukan sahaja menjadi Presiden PAS, malah beliau juga adalah pemimpin di peringkat nasional,” ujar beliau pada Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, di sini semalam.
 
Katanya, hanya PAS sejak ditubuhkan mempunyai visi dan misi yang konsisten serta jelas, selain memiliki kemampuan untuk memimpin.
 
Menurut beliau lagi, pendekatan dilakukan PAS adalah bersifat sederhana, namun mampu dan berjaya menarik minat semua golongan untuk menyertai parti itu.
 
Beliau menyebut bahawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang menjadi pendekatan PAS kini telah mendapat sokongan penuh dari kebanyakan NGO.
 
Mustafa memetik kejayaan Rasulullah S.A.W menyatukan semua kaum sebagaimana dalam peristiwa Hijrah hingga mengembangkan Islam di dua pertiga dunia.
 
“Hal ini menunjukkan bahawa Islam mampu memerintah walaupun berada di dalam masyarakat yang berbilang agama dan bangsa dengan syarat pemimpin perlu tekad mengamalkan Islam secara keseluruhan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 30/9/2017
- Advertisement -