Pusat tahfiz ejen anti dadah, rempit dan pengangguran

- Advertisement -

MESKIPUN 30 tahun belakangan ini maahad tahfiz di sana sini acap dilanda tragedi termasuk kebakaran melibatkan puluhan murid mati dalan satu-satu kebakaran, tetapi ibu bapa tidak serik menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz dan pusat tahfiz seperti lalang di tiap-tiap tanah terbiar.
      
Jika ibu bapa tidak peka menghantar anak ke situ, anak-anak pula minta mereka disekolahkan di situ.
      
Hingga ada ibu bapa di Kuala Lumpur pergi hingga ke Bagan Datoh, Kuala Kangsar dan lain-lain mencari tahfiz yang terbaik untuk anak-anak mereka.
     
Ini perkembangan yang menarik sejak belasan tahun belakangan ini. Sekalipun ia cuma peratus yang kecil bagi setiap tempat, tetapi kecenderungan itu bertambah demi masa. Ia tidak berlaku 30/40 tahun lalu.
     
Isyarat sudah ada sejak itu, tetapi tumpuannya ke sekolah agama rakyat. Sekalipun Perdana Menteri Mahathir memotong bantuan ke sekolah agama rakyat menjelang persaraannya, ia tidak menghalang sesetengah ibu bapa menyekolah anaknya di sekolah agama rakyat.
      
Kecenderungan mendadak selepas dia bersara, tumbuh maahad tahfiz di setiap negeri dan mulai menjala ke setiap daerah.
      
Terbakar satu pusat tahfiz, tumbuh pula 10 atau 20 yang baru.
     
Perdana Menteri Abdullah Badawi melawat Afrika Selatan, terkejut melihat anak-anak Malaysia awal belasan tahun ramai di sana. Ditanyanya kanak-anak itu mengapa datang belajar ke situ?
     
Jawab mereka, ayah mahu kami belajar agama.
     
Tak adakah tempat belajar agama di negeri sendiri? PM rasa ada, bapa mereka rasa tak ada. Demikian tingginya kemahuan rakyat Malaysia mahu anaknya belajar agama hingga sanggup berpisah anak sejarak sebuah lautan luas.
       
25 tahun lalu seorang keluarga terdekat sangsi dengan anaknya pulang dengan ijazah dari Amerika. Bimbang anaknya payah dapat kerja justeru pengangguran mulai jadi isu. Jika dulu anaknya dihantar mengaji agama, kehidupannya mungkin lebih baik.
     
Sudah ada ibu bapa masa itu berfikiran begitu. Dia bertuah anaknya bergaji besar di firma besar.
     
Apa yang ibu bapa runsing dengan anak-anaknya sekarang? Yang tak sekolah agama sanggup berpakat keluar rumah dini hari membakar maahad tahfiz. Setiap 10 anak lebih separuh calon pencarum dadah. Tidak dijamin mereka mereka tidak merempit dan meragut. Jikapun mereka berjaya memiliki ijazah dan diploma peluang dapat kerja susah.
      
Pengangguran bukan sekadar belum pernah bekerja, ditambah pula dengan dibuang kerja kerana ekonomi di bawah paras stabil. Masing-masing bersekolah bagi mengisi pasaran pekerjaan. Bila berijazah memenuhi pasaran pengangguran, macam tak bersekolah saja.
      
Sekalian ibu bapa diserang kebimbangan anak jadi penagih dadah, rempit/ragut dan menganggur.
     
Kerajaan dan masyarakat gagal membendung wabak ketagih dadah, bahkan ia bertambah mengikut minit. Yang tagih itu rata-rata menunggu mati. Anak yang belum kenal dadah saja perlu dibendung. Hantarkan ke sekolah tahfiz, dengan seragam jubah dan serban, kanak-kanak itu besar peluang dijauhi dadah. Mana yang hafiz akan belajar tinggi lagi.
      
Masing-masing jadi ustaz, imam, beri kuliah masjid/surau, mengepalai tahlil, membaca talkin. Dalam masyarakat mereka lebih mulia dari pegawai awam, CEO, panglima dan pegawai polis. KPN, hakim, Peguam Negara mati isteri panggil lulusan tahfiz jadi imam solat jenazah, baca talkin dan mengepali tahlil.
     
Bila mereka memimpin semua acara keagamaan dan masyarakat, merekalah pemimpin masyarakat, bukan YB, penghulu dan pegawai PTD.
     
Hafiz, ustaz semua boleh jadi imam. Bila lulus SPM boleh kerja dengan kerajaan. Murah rezeki,  bebas dadah, tak merempit/ragut. – HARAKAHDAILY 28/9/2017

- Advertisement -
- Advertisement -