10 ganti satu tahfiz terbakar

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
- Advertisement -

SEWAJARNYA Perdana Menteri Najib diberi syabas kerana mengarahkan jabatan bomba di seantero wilayah kita memberi perhatian terhadap aspek keselamatan semua sekolah tahfiz.

- Advertisement -

Mana-mana yang tidak memenuhi syarat diminta menyempurnakannya dan jika ia gagal akan diperintah tutup.

Menyempurnakan sistem keselamatan itu adalah tanggungjawab semua dan tanggungjawab agama yang yang dikehendaki maqasid syariyah yang perdana menteri selalu sebut. Menjaga nyawa adalah satu rukun maqasid.

Mana-mana kerajaan yang mengutamakan rakyat kerana agama mesti mengambil tanggungjawab bersama masyarakat menyempurkan semua keperluan maahad tahfiz. Umumnya kebanyakan maahad adalah berdikari, ditaja orang/pihak tertentu dengan sokongan sekalian yang prihatin yang keupayaannya tidak menentu.

Kerajaan yang sudah 60 tahun merdeka belum menjadikan pengajian tahfiz sebagai tanggungjawabnya seperti sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Rakyat pun tidak menuntut seperti yang pengajian Cina dan Tamil tuntut.

Tetapi ia tumbuh atas semangat umat. Jika tidak dapat memenuhi semua syarat, ada guru, ada murid dan ada atap yang melindungi dari panas dan hujan cukup bagi memulai tuntutan menguasai ilmu al-Quran itu seperti zaman assabiqun dulu orang mengaji di bawah lindungan bayang pokok kurma.

Dengan apa yang ada, tahfiz mesti diadakan sekalipun berdangau. Jika ia diterbang ribut atau terbakar, tahfiz mesti diteruskan. Sejak 30 tahun kebelakangan ia tumbuh meliar seperti lalang tidak kira panas atas hujan. Tanpa setitik hujan lalang tumbuh juga.

Tiada ia di bumi sendiri, kanak-kanak lepasan UPSR dihantar ke Pakistan, Yaman, Turki hatta ke Afrika Selatan. Dalam negeri mereka tegakkan sekolah sendiri sekalipun daif. Maka acap tahfiz terbakar. Pelajarnya rentung hampir menjadi lumrah. Ia tidak menghalang ibuibapa menghantar anak ke situ.

Satu tahfiz terbakar, ia diganti dengan sepuluh tahfiz baru. Percayalah selepas Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat terbakar 14 September lalu puluhan tahfiz baru tumbuh macam lalang atas mana-mana tanah terbiar.

Tanggungjawab umat ialah mengadakan tahfiz. Seperti Islam sebelum ada kerajaan yang sistematik dulu. Ada kampung, ada penduduk 40 lelaki mereka dirikan masjid sekalipun beratap rumbia dan tak berdinding. Tempat tak cukup 40 lelaki mereka adakan surau. Dengan menggunakan duit sendiri.

Bila kerajan takut kalah pilihan raya orang tak perlu bina masjid. Kerajaan cari mukim untuk diri masjid baru.

Tahfiz adalah cahaya bagi setiap lokaliti sekalipun di malam yan gelap pekat. Orang tak nampak cahaya itu, tetapi ia ada bagi menerang penduduknya dengan barakah. Ketenangan dan kesejahteraan kampung itu terangkat.

Bahagialah mereka yang berjiran dengan sekolah tahfiz. Setiap yang dapat mendengar orang mengaji, suaranya masuk ke hati masing-masing.

Sekarang tidak memadai tahfz diarah melengkapkan sistem keselamatannya. Semua tahu ia hidup atas saku orang kampung. Apa kerajaan boleh buat supaya masing-masing dapat memenuhi keperluannya. Jka kerajaan belum bercadang menjadikannya satu dasar, ia mesti mengajak rakyat bersama mewujud dan memeliharanya.

Menutupnya lebih senang dari mengasaskannya. Jika kerajaan rasa ia miskin, di sekitar Datuk Keramat ada masjid-masjid yang pungutan derma hari Jumaat belasan ribu seminggu. Jika setiap masjid menyumbang sebahagian daripadanya, dengan bantuan kerajaan keperluan melengkapkan keselamatan itu boleh ditunaikaan.

Menutupnya adalah memadam cahaya syiar di situ. Kerajaan jangan sekadar arah apa yang tahfiz patut buat, tapi tanya apa yang ia boleh buat supaya ia sempurna. – HARAKAHDAILY 27/9/2017

- Advertisement -