Manifesto: PAS ucap terima kasih sumbangan idea

- Advertisement -

PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) yang telah diamanahkan sebagai Sekretariat Penggubalan Manifesto PAS, melahirkan jutaan penghargaan kepada masyarakat awam yang telah menyumbangkan fikiran dan pandangan tentang apa yang perlu ditawarkan oleh PAS dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). PPP berkeyakinan apa-apa tawaran yang mahu dikemukakan oleh PAS haruslah datang dari citarasa dan hasrat rakyat sendiri, bukanlah sekadar cetusan idea dari parti-parti politik.

- Advertisement -

Semenjak PPP menjemput masyarakat awam memberikan fikiran dan pandangan melalui FB dan email rasmi PPP seminggu yang lalu, PPP telah menerima maklumbalas yang amat menggalakkan. Pada hari pertama sahaja, poster digital tentang pengumuman jemputan tersebut telah dicapai oleh 50217 pengguna media baru, dan 66 fikiran dan pandangan telah disuarakan. Sambutan masyarakat awam ini menunjukkan mereka meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada PAS untuk membawa suara mereka.

Sebenarnya pada kali ini PAS telah menerokai pendekatan crowdsourcing untuk menggubal manifesto PRU14. Pendekatan itu adalah dengan menggembeling usaha memperolehi pandangan akar umbi masyarakat tentang apa yang mereka hasratkan untuk PAS perjuangkan. Oleh sebab itu, manifesto yang akan dikemukakan oleh PAS dalam PRU14 nanti adalah citarasa dan aspirasi masyarakat awam yang tidak bertentangan dengan dasar dan amalan Islam yang menjadi teras perjuangan PAS.

Pendekatan crowdsourcing ini sebenarnya telah bermula sejak 2015 iaitu melalui Kongres Rakyat yang dianjurkan oleh NGOs di peringkat nasional dan peringkat negeri-negeri. PAS yang turut terlibat sebagai penganjur bersama telah menghimpunkan seluruh fikiran dan pandangan yang disuarakan oleh NGOs dan tokoh-tokoh perseorangan dalam siri kongres tersebut. Fikiran dan pandangan mereka dijadikan sumber penting PAS menggubal manifesto serta tawaran di peringkat nasional, peringkat negeri dan peringkat kawasan parlimen.

Kemudian pendekatan ini diteruskan dengan agensi-agensi yang mewakili PAS mewujudkan perundingan langsung dan tidak langsung dengan pihak yang berkepentingan mewakili masyarakat awam. Melalui perundingan ini agensi-agensi PAS seperti dewan, lajnah dan jabatan telah memperolehi input untuk kegiatan mereka seterusnya mengangkat hasil perundingan tersebut menjadi sumber untuk PAS menggubal manifesto. Fikiran dan pandangan dari sumber ini memperkayakan lagi menifesto yang bakal dikemukakan.

Kali ini, Sekretariat Penggubalan Manifesto PAS membuat hubungan secara langsung dengan masyarakat awam melalui media baru. Masyarakat awam boleh menyuarakan fikiran dan pandangan mereka melalui FB Pusat Penyelidikan PAS di URL http://www.facebook.com/PasResearchCentre dan Email rasmi [email protected]. Talian ini akan terus dibuka sehingga 30 September 2017 ini, dan selepas itu semua fikiran dan pandangan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Induk Manifesto yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS.

Selepas ini, pendekatan crowdsourcing akan dilanjutkan dengan PPP akan menjemput pakar-pakar dalam pelbagai sektor untuk menghadiri satu dialog bagi memberi pandangan balas terhadap deraf awal manifesto PAS. Pandangan kumpulan pakar ini akan diambilkira untuk memperbaiki deraf awal manifesto PAS tersebut sehingga ia menjadi manifesto yang benar-benar memenuhi citarasa dan aspirasi rakyat. Deraf Manifesto ini akhirnya akan dibawa kepada Gagasan Sejahtera (GAGASAN) sebagai input dari PAS di samping input dari rakan komponen lain.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Pengarah PPP
26 September 2017/5 Muharram 1439. – HARAKAHDAILY 26/9/2017

- Advertisement -