Lokasi asal Fastaqim 2.0 di Batu Buruk tidak dilulus

- Advertisement -

HIMPUNAN Fastaqim 2.0 yang diadakan di Kuala Nerus pada Jumaat dan Sabtu ini akan melengkapkan siri penganjuran Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.0 di Terengganu.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata, PAS menganjur Harap-PGU 3.0 sebanyak tujuh siri mengikut daerah di negeri itu.

“Dalam konteks Terengganu kita telah menganjurkan program Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno 3.0 sebanyak tujuh siri.

“Dan Fastaqim 2.0 ini sebagai mencukupi sebanyak lapan siri Harap-PGU 3.0 dan penutupnya. Fastaqim 1.0 sebelum ini diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 17 Oktober 2015,” ujarnya selepas ceramah jayawara Fastaqim 2.0 di Padang Bola, Kampung Batu Enam, semalam. (Foto atas: Sebahagian khemah sudah dipasang di tapak Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal.)

Menurutnya juga cadangan asal Fastaqim diadakan di Kuala Terengganu, namun tidak ada tempat yang sesuai bagi menampung kehadiran 200,000 peserta.

Bagaimanapun katanya, PAS ada memohon untuk menggunakan Pentas Budaya Batu Burok, namun tidak diluluskan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Beliau yang juga Adun Bukit Tunggal berkata, penganjuran Fastaqim 2.0 sekali gus boleh menjana ekonomi negeri itu sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

“Ini sekali gus memeriahkan Tahun Melawat Terengganu 2017 yang dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Januari lalu,” ujarnya.

Tahun Melawat Terengganu pernah diadakan pada 1997, 2008 dan 2013.

Lokasi Fastaqim 2.0 meliputi kawasan seluas hampir 60 ekar. Pihak urusetia turut menyedia empat surau lelaki dan perempuan, 60 unit tandas serta bilik mandi.

Bekalan air dan elektrik juga disediakan. Selain itu gerai jualan, tapak perkhemahan, kawasan parkir dan kenderaan bagi mengangkut peserta iaitu van serta motosikal.

Urusetia Fastaqim turut menyediakan pasukan khas pengawal pantai dengan kelengkapan empat bot serta dua ambulans milik Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu. – HARAKAHDAILY 26/9/2017

- Advertisement -