Kisah Ustaz Harun Taib dan tokoh korporat

- Advertisement -

SAAT budaya perbincangan hukum semakin menjadi sepi dewasa ini, tiba-tiba terkenang ketegasan murabbi al-marhum Ustaz Harun Taib dalam perkara ini. Beliau terkenal sebagai seorang yang sangat kuat berpegang dengan halal haram. Bahkan sangat wara’ dan tidak bermudah dalam isu yang membabitkan syariat.

- Advertisement -

Ada satu kisah yang sangat menarik berhubung perkara ini. Dikongsikan oleh seorang tokoh korporat yang juga amat mengagumi beliau.

Ceritanya berlaku ketika PAS memimpin kerajaan negeri Terengganu. PAS mengambil alih kerajaan dengan hutang yang ditanggung hampir 1 bilion ringgit. Ditambah dengan berbagai anak syarikat kerajaan negeri yang bermasalah dan seolah telur yang berada di hujung tanduk.

Pada masa tersebut, terdapat sebuah syarikat perladangan yang menerima nasib serupa. Syarikat tersebut hampir bankrap. Hutang terlalu banyak dan bisnes merudum teruk. Lalu pakar-pakar korporat dipanggil untuk membantu membangunkan semula syarikat tersebut.

Timbul cadangan untuk menggunakan khidmat pembiayaan kewangan dari pihak bank. Setelah berbincang, Ustaz Harun bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan sebuah bank yang mengamalkan konsep perbankan Islam. Itulah satu-satunya bank yang dipersetujuinya.

Lalu pegawai bank tersebut dipanggil untuk membentang model pembiayaan dan pembayaran yang mereka cadangkan. Setelah berbincang, Ustaz Harun tidak berpuashati dengan model yang ditawarkan. Bagi beliau, ia masih dikira tidak patuh syariah.

“Tak boleh guna bank. Cuba cara lain,” tegas Ustaz Harun.

Pakar-pakar korporat mati akal. Sekarang mereka pening mereka memikirkan bagaimana nak menjana kembali operasi syarikat tanpa bantuan bank.

Namun tegas Ustaz Harun tidak menutup ruang untuk berkembang. Beliau menyemak bentuk-bentuk perniagaan yang dijalankan syarikat tersebut. Akhirnya beliau mencadangkan supaya dikeluarkan Sukuk al-Ijarah. Ustaz Harun menerangkan kepada pakar-pakar korporat apa itu Sukuk al-Ijarah di dalam sistem muamalah Islam, kemudian pakar-pakar ini cuba menerjemahkan teori tersebut kepada model perniagaan yang boleh dipraktikkan.

Sukuk adalah nama bagi sijil kewangan yang diterbitkan atas tujuan pembiayaan pelaburan. Ia mempunyai sedikit persamaan dengan bon hutang, tetapi ia tidak berasaskan hutang. Ringkasnya ia boleh dipanggil sebagai bon patuh syariah. Sukuk al-Ijarah pula adalah sijil kewangan yang membenarkan pemegangnya untuk memperoleh hasil sewaan daripada aset yang didaftarkan atas nama sukuk tersebut.

Ringkas cerita, akhirnya mereka berjaya merangka Sukuk al-Ijarah daripada aset-aset yang dimiliki syarikat. Malangnya ketika memohon kelulusan dari pihak Bank Negara, mereka gagal. Pihak Bank Negara tidak membenarkan Sukuk tersebut dikeluarkan atas berbagai alasan.

Ustaz Harun tidak mengalah. Beliau terus meneroka sistem Islam. Dicadangkan pula traksaksi Bai’ Salam. Setelah difahamkan teori Bai’ Salam kepada pakar korporat, mereka pun menyiapkan model perniagaan tersebut.

Bai’ Salam adalah bentuk jual beli secara tempahan. Pembeli membayar dahulu harga yang dipersetujui dan penjual akan menyerahkan barang pada tempoh-tempoh yang dijanjikan.

Setelah mencuba, akhirnya transaksi Bai’ Salam berjaya dipraktikkan. Syarikat tersebut berjaya dipulihkan dengan pulangan yang lumayan. Bukan itu sahaja, bahkan berjaya membantu kerajaan negeri menyelesaikan keseluruhan hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan BN, dan menjana lebihan pendapatan untuk manfaat rakyat.

Sejak hari itu, pakar-pakar korporat sangat mengagumi Ustaz Harun Taib. Secara tidak langsung mereka turut mengakui keperluan untuk ulama memimpin negara. Kerana mereka pakar dalam ilmu Islam. Dan tiadalah sistem yang boleh menyelesaikan segala permasalahan di dunia hari ini, melainkan Islam.

Ada beberapa perkara boleh diambil perhatian daripada cerita ini.

1. Islam agama penyelesaian. Perlu yakin bahawa jika bersama Islam, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Sesungguhnya Islam kaya dengan berbagai solusi yang masih belum bernas, menunggu masa untuk diteroka sahaja.

2. Tidak terlalu cepat mengalah dengan keadaan. Sikap terlalu cepat menghalalkan yang diharamkan atas nama doruroh perlu dielakkan. Percayalah ia hanya ujian yang tuhan jadikan, untuk menguji tahap kesungguhan hambaNya mempertahankan aturan Islam.

3. Ulama perlu memimpin. Mereka tidak hanya menjadi penasihat, tetapi juga perlu diberikan autoriti untuk menguatkuasakan sebarang perkara dasar yang melibatkan hukum. Tetapi takrifan ulama itu perlu jelas, iaitu mereka yang faqih dalam bidang yang berkenaan, yang boleh mengolah ilmu daripada teori kepada praktikal. Bermakna bukan semua agamawan bertaraf ulama.

4. Ulama perlu menyedari tanggungjawab mereka yang sangat besar. Tidak hanya di lapangan pendidikan dan dakwah sahaja, tetapi juga di bidang ekonomi, korporat, politik dan sebagainya. Justeru mereka perlu memperkayakan diri dengan ilmu-ilmu yang pelbagai bagi menguruskan cabang-cabang kehidupan yang semakin rencam.

5. Contoh model kerajaan teknokrat yang disebutkan oleh Tuan Guru Presiden PAS. Jawatan pentadbiran tidak berasaskan kedudukan dalam parti politik, sebaliknya berasaskan kepakaran dalam bidang-bidang berkenaan. Teknokrat yang boleh berintegrasi dengan agamawan yang faqih. Bukan teknokrat berkiblatkan sekular. Bukan jua teknokrat mirip pemerintah aristokratik yang dibawa oleh golongan kiri.

Alang Ibn Shukrimun
5 Muharram 1438 / 26 September 2017 – HARAKAHDAILY 26/9/2017

- Advertisement -