Kelantan utamakan pendidikan agama

- Advertisement -

KETIKA sesetengah pihak memandang rendah terhadap institusi pendidikan agama kerana prasarananya kurang, namun berbeza pula di Kelantan.  

- Advertisement -

Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pembangunan sekolah agama. Malah belanjawan tahun ini lebih RM90 juta disediakan kepada Yayasan Islam Kelantan (Yik). Pendidikan agama terus diperkasa biar pun sumber kewangan juga agak terhad. Oleh itu bagi mengetahui perkembangannya, ikuti penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan ketika ditemui wartawan Muhammad Arif Ismail baru-baru ini. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Harakah: Maahad Sains Tok Guru di Pengkalan Chepa merupakan sekolah terbaharu di bawah Yik yang memulakan operasi awal tahun ini. Bagaimana perkembangannya sekarang?

Dr Muhamed Fadzli: Maahad Sains Tok Guru yang terletak di Pengkalan Chepa merupakan satu lagi produk terbaru Yik. Ia merupakan sekolah berasrama penuh. Pada peringkat permulaan pengambilan hanya pelajar lelaki sahaja. Paling istimewa ialah penggunaan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris sebagai bahasa seharian. Selain itu, walau pun sekolah ini bukan aliran tahfiz, tetapi kurikulum tahfiz dengan menghafal sejuzuk setahun diwajibkan, di samping pengajian kitab turath. Ini bermakna pelajar akan belajar kitab-kitab ilmu klasik yang diajar di pondok. Setiap pelajar dikenakan bayaran RM300 sebulan sebagai kos makan minum dan asrama, selainnya ditanggung kerajaan negeri.

Bagaimana projek pembinaan bangunan baru Yik di Tunjung?

Pembinaannya mengikut jadual dan tidak pernah ‘delay’, kini perkembangannya sekitar 10 peratus. Bangunan itu akan menempatkan pejabat baharu Yik dijangka sipa pada Ogos 2018.

Sebelum ini kerajaan negeri mendaftar 20 sekolah agama bantuan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dengan kementerian, bagaimana perkembangannya sekarang?

Jumlah SABK di seluruh Kelantan ialah 20 buah. Jumlah keseluruhan sekolah Yik sebanyak 90 yang dikelola Yik. Tenaga pengajar di SABK ada guru dari Kementerian Pelajaran dan sebahagian lagi guru Yik. Manakala mudirnya seramai lapan orang dihantar kementerian dan 12 pula daripada Yik. Tetapi korikulum Yik digunakan sepenuhnya.
 
Sejauh mana sambutan masyarakat luar Kelantan terhadap sekolah agama di bawah Yik?

Kalau dahulu sekolah agama dianggap sebagai second class. Namun sekarang menjadi pilihan rakyat termasuk dari luar Kelantan. Ini kerana selepas pelajar sekolah Yik membuktikan kecemerlangan akademik dan syaksiah. Pencapaian akademik sekolah Yik juga dicatat melebihi pencapaian sekolah kementerian. Contohnya di peringkat SPM dua kali pelajar Yik muncul sebagai pelajar terbaik peringkat negara. Begitu juga peperiksaan STAM, pelajar agama di Kelantan mendapat kedudukan terbaik setiap tahun. Ini menyebabkan sambutan sekolah Yik datang dari seluruh Malaysia. Misalnya bagi Maahad Tahfiz Sains, kita juga menyediakan kuota bagi pelajar luar Kelantan dan sambutannya sangat menggalakkan.

Khabarnya ada sekolah agama di Rantau Panjang digabung, apa puncanya?

Sebenarnya kita bukan tutup Sekolah Menengah Ugama (Arab) al Fauziah di Rantau Panjang. Yik ada Maahad Muhammadi di Rantau Panjang dan sekolah agama persendirian yang ditubuhkan oleh Ustazah Fauziah. Jadi apabila kerajaan negeri menubuhkan Maahad Muhammad Rantau Panjang yang berhampiran sekolah lama, jadi kita serap masuk pelajar sekolah itu ke Maahad Muhammadi Rantau Panjang. Kita bukan tutup, sebaliknya kita satukan dan naik taraf kepada lebih baik. Sebelum ini ada pelajar menjadikan sekolah lama sebagai asrama, tetapi sekarang kita sudah ada bangunan baru di maahad terbabit.

Mengambil kira banyak kebakaran yang berlaku membabitkan sekolah tahfiz persendirian, bagaimana pula ciri-ciri keselamatan sekolah agama di bawah Yik?

Kita mengakui ada sesetengah sekolah Yik dibina oleh rakyat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Sekarang institusi tersebut kita bina mengikut piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebagainya. Sekolah Yik memenuhi semua syarat yang ditetapkan. Cuma ada beberapa sekolah yang masih lagi menggunakan bangunan lama yang boleh digunapakai. Ia dibina oleh penduduk dan PIBG. Sehubungan itu, kerajaan negeri kini dalam proses memperbaharui semua sekolah setiap tahun. Jadi semua sekolah di bawah Yik semuanya dijamin selamat.

Sebelum ini kerajaan negeri mensasarkan sebuah sekolah tahfiz di setiap jajahan di Kelantan. Sejauh mana perkembangannya?

Kita dalam usaha ke arah menjayakan hasrat itu. Cuma sekarang hanya jajahan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang belum ada sekolah tahfiz. InsyaAllah kita adakan bina di semua jajahan. Tahun hadapan kita akan buka Maahad Tahfiz Darul Saadah di Beta untuk perempuan sahaja. Dasar kita sekarang i memang ke arah. Sebagaimana yang saya sebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini sebuah sekolah menengah ugama arab (SMUA) akan dinaik taraf kepada maahad penuh setiap tahun. Tahun hadapan SMUA Taqadum Maarif Pasir Tumboh akan dinaik taraf kepada maahad.

Bagaimana pula carumah pinjaman kakitangan Yik yang dibuat melalui potongan gaji yang menjadi isu sebelum ini?

Kita membayarnya daripada semasa ke semasa, dari bulan ke bulan, cuma kalau ada tertunggak mungkin satu bulan sahaja. Caruman Yik dibuat dengan beberapa koperasi termasuk di bawah Majlis Agama Islam Kelantan dan koperasi-koperasi lain. Caruman memang kita sudah selesai dan tidak timbul masalah bayaran balik pinjaman kepada koperasi. Alhamdulillah kita dapat menyelesaikan tunggakan itu, cuma tunggakan sebulan dua bulan itu adalah perkara biasa. Kita terpaksa ambil masa sedikit untuk membayarnya. Tidak berlaku lagi tunggakan yang banyak seperti sebelum ini. HARAKAH 26/9/2017

{/mprestriction}

Maahad Tahfiz Sains di Kampung Berangan Tumpat

Pelajar bukan Melayu yang cemerlang SPM turut menerima insentif RM500 daripada kerajaan negeri

 

- Advertisement -