Bekas Pengarah Strategi PKR sertai PAS

- Advertisement -

KLUANG: Mantan Pengarah Strategi PKR Johor, Nor Azman Hashim, memutuskan untuk menyertai PAS setelah yakin dengan dasar Islam yang menjadi asas perjuangan PAS berbanding parti-parti lain tidak mengambil Islam sebagai dasar parti.

- Advertisement -

Beliau yang juga mantan Naib Ketua Angkatan Muda Johor dan menyertai parti itu pada tahun 2007 telah menyerahkan borang menyertai PAS kepada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi.

Penyerahan borang tersebut dilakukan sempena majlis ceramah Program Jelajah Gerakan Sejahtera Islam Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Simpang Renggam, dekat sini, 23 September lalu.

Hadir sama pada majlis ini Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin; Ketua Ulamak PAS Johor, Ustaz Azli Sham Azhar; Ketua Muslimat PAS Johor, Atiah Ahmad dan Yang DiPertua PAS Kawasan Simpang Renggam, Ustaz Alias Isnin. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Ketika berucap pada majlis itu, Nor Azman, 48 menjelaskan, keyakinan beliau terhadap PAS timbul setelah memahami isi kandungan Perlembagaan PAS yang jelas meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan parti.

“Kita dapat melihat dan memahami hala tuju sesebuah parti itu berdasarkan kepada perlembagaan parti tersebut dan bagi PAS memang jelas menyatakan nawaitu untuk mendaulatkan Islam di negara ini.

“Tidak ada parti lain di negara ini yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan parti kecuali PAS, inilah bezanya PAS dengan parti-parti lain bahkan parti yang didominasi orang Melayu pun (selain PAS) tidak bersedia menjadikan Islam sebagai dasar parti mereka,” jelas beliau yang menyertai PAS sempena Maal Hijrah ini.

Selain itu menurut beliau, masalah kemaslahatan ummah juga telah mendorong beliau untuk berhijrah ke suatu wadah yang lebih selamat berbanding wadah lainya.

Katanya, hari ini telah lahir berbagai jenama Islam seperti Islam Liberal dan Islam Sekular yang mana semuanya itu bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Fahaman-fahaman yang menyesatkan itu ujarnya, telah bercambah dan berkembang biak di kalangan masyarakat termasuk NGO dan parti-parti politik tertentu.

“Bagi menghadapi segala kebejatan yang melanda Islam dan umat Islam ini kita memerlukan satu pasukan yang kuat dan mantap untuk berdepan dan menangkis serangan-serangan pihak yang berusaha untuk menghancurkan Islam di negara ini.

“Saya bertekad menyertai PAS kerana saya melihat hanya PAS satu-satunya wadah yang mampu menghadapi serangan-serangan musuh Islam ini dan ini terbukti dengan istiqamahnya PAS mempertahankan perjuangan mendaulatkan Islam ini walau pun terpaksa melalui berbagai ujian dan cabaran yang silih berganti sehinggalah ke hari ini,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, strategi politik kepimpinan tertinggi PAS dalam menghadapi musuh tradisi dan juga parti-parti yang tidak sebulu dengan parti Islam itu juga turut menarik hati beliau untuk menyertai PAS.

Menurutnya, pendekatan PAS melalui Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan beberapa tahun lalu adalah strategi sangat bijak dan tepat pada masanya.

Katanya, beliau percaya melalui pendekatan yang lebih terbuka itu akan memberi impak yang sangat besar kepada PAS untuk jangka masa panjang.

“Justeru kerana itu berdasarkan kepada pengalaman berpolitik di masa yang lampau, saya yakin untuk terus istiqamah bersama PAS dalam usaha untuk memperjuang dan mempetahankan Islam di negara ini,” katanya.{/mprestriction}

- Advertisement -