Kenyataan media Mudir Darul Quran Ittifaqiyah

- Advertisement -

MESYUARAT pengurusan madrasah telah memutuskan, penempatan petugas Mudir Darul Quran Ittifaqiyah di kaunter depan madrasah adalah sehingga jam 11.00 malam 30 September 2017 sahaja.

- Advertisement -

Berikut kenyataan penuh Mudir Darul Quran Ittifaqiyah.

SUMBANGAN DANA MASYARAKAT KEPADA DQI BERIKUTAN TRAGEDI KEBAKARAN 14 SEPTEMBER 2017

Bismillahir Rahmaanir Rahiim

1. Peristiwa pilu tragedi kebakaran madrasah kami yang telah mengorbankan 23 warga DQI amat memberikan kesan yang mendalam di hati kami. Lebih-lebih lagi apabila pihak polis mengesahkan bahawa tragedi ini adalah akibat perbuatan jenayah terancang oleh beberapa orang suspek yang telah ditahan reman. Kepiluan ini sudah tentu berganda-ganda dipikul beratnya oleh ibu bapa dan keluarga sahabat dan anak didik kami yang terkorban. Hanya kepada Allah kami adukan segala kesedihan ini. La haula wa la quwwata illa billah!

2. Sejak dari hari pertama kejadian, masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, pangkat dan darjat telah datang menziarahi kami. Tidak kurang juga kunjungan daripada rakyat Singapura dan Brunei. Hatta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah berkenan mencemar duli ke madrasah kami. Sesungguhnya, ini semua bagaikan siraman hujan rahmat daripada Allah kepada diri kami, membuatkan kami mendapat kekuatan untuk menangani ujian besar yang dihadapi.

3. Kami sangat terharu, berterima kasih serta terhutang budi abadi atas keprihatinan, simpati dan empati yang dizahirkan oleh seluruh rakyat Malaysia baik daripada mereka yang bersusah payah berkunjung sendiri ke madrasah mahupun melalui mesej-mesej media yang kami terima. Walaupun ada segelintir individu yang masih berkeras menyalahkan madrasah, namun sokongan dan doa majoriti masyarakat dan solidariti sahabat komuniti tahfiz adalah sumber kekuatan buat kami.

4. Sepanjang 10 hari ini, kami telah menerima ucapan takziah dan sumbangan ikhlas daripada masyarakat. Kami tidak pernah menubuhkan sebarang tabung sumbangan, apa yang berlaku, sumbangan ini adalah datang dari ketulusan hati masyarakat Malaysia itu sendiri. Segala sumbangan ini semua kami terima sebagai amanah untuk melaksanakan hasrat masyarakat menghulurkan bantuan kepada mangsa tragedi ini dan juga bagi tujuan pembangunan semula madrasah. Setinggi ucapan terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak yang membantu dan memberikan pelbagai bantuan kepada kami. Insya Allah, setelah keadaan lebih reda, kami berhasrat untuk menghubungi semua pihak / agensi berkenaan.

5. Masih banyak urusan dalaman madrasah mahupun dengan agensi-agensi seperti MAIWP, polis dan bomba yang perlu diuruskan. Sehubungan dengan itu, mesyuarat pengurusan madrasah telah memutuskan, penempatan petugas kami di kaunter depan madrasah adalah sehingga jam 11.00 malam 30 September 2017 sahaja.

6. Berkenaan pengurusan sumbangan yang diterima kami akan laporkan dan bincangkan sewajarnya dengan pihak kerajaan serta pihak-pihak lain yang perlu dan berkaitan.

7. Akhir kalam, pihak madrasah DQI ingin sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dan memberikan sumbangan kepada kami. Semoga Allah menjadikannya sebagai sandaran dan andalan bagi kejayaan dan keselamatan kita di Yaumil Mahsyar nanti. Mohon terus membantu kami dengan doa semua.

USTAZ MOHD ZAHID MAHMOOD
Mudir Darul Quran Ittifaqiyah
25 September 2017 – HARAKAHDAILY 25/9/2017

- Advertisement -