Eksport Perdana Menteri ke India?

- Advertisement -

MERUJUK kepada kenyataan YAB Perdana Menteri seperti yang disiarkan di muka hadapan Sinar Harian hari ini 25 September 2017, ia jelas sekali menandakan kegagalan Perdana Menteri untuk memahami jerit perih rakyat meneruskan kehidupan selepas dibebani dengan cukai GST 6% sejak dua tahun kebelakangan ini. Beliau di dalam ucapannya di hadapan kira-kira 2,000 perwakilan MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam mengingatkan rakyat agar tidak bising dengan kadar cukai GST 6% memandangkan di India cukai GST ialah 28%.

- Advertisement -

fadli shaariBarangkali ia bukan tajuk utama ucapan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional di hadapan perwakilan MIC itu, namun ia jelas sekali dimaksudkan oleh beliau apatah lagi angka dan fakta seperti itu sudah tentu disediakan dengan cukup cermat untuk diucapkan di hadapan khalayak. Untuk rekod, PAS konsisten menyatakan sejak dahulu lagi bahawa pelaksanaan cukai ini adalah haram kerana ia mengutip secara samarata daripada setiap individu rakyat sama ada miskin mahupun kaya.

Hakikatnya. membuat perbandingan negara ini dengan India adalah satu perbandingan yang tidak adil. Dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai comparing apples and oranges. Bagaimana boleh PM membuat perbandingan di antara Malaysia yang mencatatkan pendapatan perkapita (GDP Per capita)pada tahun 2016 sebanyak USD9,360 berbanding India sebanyak USD1,704? Itupun pendapatan perkapita Malaysia sebenarnya semakin menurun sejak tahun 2011 di mana angka pada masa tahun tersebut ialah USD10,253 dan tahun 2015 (USD9,501). Adakah Malaysia mahu ‘duduk sama rendah dengan India’ sehingga ke tahap pendapatan perkapita USD1,704 barulah dikatakan berada di landasan yang betul?

Di India, GDP (Gross domestic product) atau KDNK (Keluaran dalam negara kasar) pada tahun 2016 ialah sebanyak USD2,256,397 billion atau USD2.256 trillion berbanding Malaysia sebanyak USD296,359 billion pada tahun yang sama. Namun, hutang awam Negara India tidak kurang banyaknya jika dibandingkan dengan KDNK iaitu sebanyak USD1.569 trillion atau 69.54% berbanding hutang awam Malaysia sebanyak 57.95% daripada KDNK. Soalannya, mahukah kita mencontohi India dalam amalan berhutang ini sehingga mencapai peratusan hutang sebanyak tersebut akibat kegagalan kerajaan melaksanakan amalan berbelanja secara berhemat?

Jika dibandingkan dengan Corruption Perceptions Index (Indeks Persepsi Rasuah) kita tidaklah jauh berbeza dengan Negara India walaupun di dalam filem-filem Bollywood sering kali ditampilkan kepala-kepala polis perasuah sehinggalah datangnya Inspektor Sahab. Di Malaysia walaupun kita mempunyai filem Gerak Khas yang boleh menyelesaikan kes jenayah dalam masa satu jam sahaja menerusi perbincangan sambil berdiri, kita tetap dibelenggu dengan isu rasuah lebih kurang sama teruk berbanding India. Untuk rekod, mengikut kajian Transprency International, India berada di tangga 79 daripada 176 negara dengan markah sebanyak 40 berbanding Malaysia di tangga 55 dengan markah 49. Hanya dipisahkan oleh 9 markah sahaja! Malaysia nyata sekali masih di belakang Singapura yang berada di tangga 7 dengan markah 84 dan Brunei di tangga 41 dengan markah 58.

Barangkali sehingga indeks rasuah Malaysia mengatasi India barulah kita berhak untuk bising.

Secara adilnya, jika ingin dibandingkan dengan India, bandingkanlah bersama senarai Perdana Menterinya yang sering bertukar ganti. Semenjak tahun 1957, Malaysia hanya mempunyai enam orang Perdana Menteri berbanding India yang telah bertukar ganti seramai 16 orang bermula Jawaharlal Nehru sehinggalah kepada Narendra Modi. Jadi janganlah bising jika kita mahu menukar kerajaan sebagaimana yang telah dilakukan oleh rakyat India sejak tahun 1947. Atau lebih menyeramkan, di antara kaedah rakyat India menukar Perdana Menteri mereka ialah dengan kaedah dibunuh seperti yang berlaku kepada Indira Gandhi pada tahun 1984 dan juga kepada Rajiv Gandhi pada tahun 1991!

Jika Perdana Menteri teruja sekali ingin membandingkan negara ini dengan India, janganlah terkejut jika ada yang mencadangkan agar dieksport YAB Perdana Menteri ke negara tersebut untuk melaksanakan idea-idea hebat yang telah terbukti ‘memakmurkan’ negara ini!

AHMAD FADHLI SHAARI
25 September 2017 – HARAKAHDAILY 25/9/2017

- Advertisement -