Yakin menangi Kedah walaupun bersendiri

- Advertisement -
ALOR SETAR: Terbukti dalam lipatan sejarah, PAS  tidak pernah kehilangan kerusi di Dun Kedah sejak tahun 1969, cuma berbeza jumlah kerusi yang dimenangi antara penggal ke penggal.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi membidas pandangan musuh politik PAS yang mempertikaikan keupayaan parti itu untuk memenangi mana-mana Dun mahu pun Parlimen secara sendirian.
 
“PAS sudah bertapak di Kedah selama 65 tahun dan Cawangan pertamanya di Bukit Besar ditubuhkan pada tahun 1952. Pertambahan Cawangan PAS berterusan sehinggalah pada April 1976, tertubuh pula Badan Perhubungan PAS Kedah,” terang beliau.
 
Berikutan itu terangnya, kekuatan PAS sehingga kini dipayungi komitmen ahli yang sentiasa berusaha memperbanyakkan cawangan dan keahlian, disamping memperteguhkan kefahaman menerusi program tarbiyah dan lain-lain.
 
Selain itu menurut beliau, penglibatan golongan muda yang secara tidak langsung dapat berganding bahu bersama tenaga lama yang berpengalaman membuatkan PAS lebih kental mengharungi gelombang politik negara.
 
“PAS tidak jemu berhadapan dengan Umno setiap kali pilihan raya walaupun pernah bersama pada pilihan raya pada tahun 1978 lalu.
 
“Kelainan prinsip perjuangan antara PAS dan Umno menjadi pemisah yang nyata dan PAS komited untuk menumbangkan Umno-BN dan meletakkan Islam sebagai dasar sejajar dengan prinsip PAS, ” jelasnya lagi.
 
Sehubungan itu, tegas Dr Fakhruddin, PAS Kedah bertekad untuk meyakinkan rakyat bahawa pihaknya bersedia memikul tanggungjawab menggantikan kepimpinan Umno-BN yang menerajui Kedah sekarang ini. 
 
Ujarnya, PAS Kedah juga memiliki rekod dari kejayaan Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dalam melaksanakan amanah rakyat pada penggal lalu. – HARAKAHDAILY 23/9/2017
- Advertisement -