Pejabat tanah sita lokasi dibantah penduduk

syedkadir
- Advertisement -

EKORAN ada pihak didakwa menceroboh tanah yang sudah lama diusahakan petani di Kampung Keladang, Salor, Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Kota Bharu hari ini memasang pita di kawasan itu.

- Advertisement -

Penghulu Mukim Keladang, Noor Azwan Che Hasim berkata, pegawai PTJ Kota Bharu datang meninjau kawasan pertanian terbabit berikutan bantahan penduduk.

Katanya, tanah yang baharu diusahakan pihak tertentu itu di tanah rezab sungai yang berpuluh tahun tempat penduduk mencari rezeki.

“Ketika masih budak-budak ayah saya dan penduduk mengusahakan tanaman kacang, jagung dan lada di kawasan berkenaan.

“Lebih mengecewakan penduduk, tanah yang dikatakan pada awalnya diusahakan atas nama syarikat bagi menanam pokok bunga matahari sudah dibersihkan petani untuk mereka bercucuk tanam.

“Namun ada pihak datang meratakan semula kawasan itu dan membajaknya. Sedangkan tanah itu sudah lama diusahakan tiga petani,” katanya di Kota Bharu.

Media baru-baru ini melaporkan 40 keluarga di Kampung Keladang berhimpun bagi membantah tindakan pihak tertentu yang didakwa menceroboh tanah yang diusahakan mereka.

Noor Azwan juga mendakwa, salah seorang petani yang mengusahakan tanah berkenaan sejak awal lagi membantah pihak terbabit mengusahakan tanah yang diusahanya.

Namun katanya, wakil pihak terbabit tetap mahu mengusahakan tanah yang sudah lama diteroka penduduk di lokasi berkenaan.

Sebelum ini seorang pemimpin pembangkang di Kelantan melaksanakan projek berkaitan alam sekitar iaitu melepaskan anak ikan di Pulau Melaka dan menanam pokok bunga matahari di Aur Duri, Salor. – HARAKAHDAILY 20/9/2017

- Advertisement -