Kenapa masih ulang perkara lapuk ‘PAS bukan agama’

- Advertisement -

BANK Islam, Sekolah Islam, Universiti Islam, Pusat Islam, Tadika Islam, Pajak Gadai Islam, Restoran Islam, Pusat Rawatan Islam, Hospital Islam dan apa sahaja sewaktu dengannya yang diletakkan nama Islam, ia bukan agama, termasuk Parti Islam juga bukan agama. Malah orang Islam pun bukan agama.

- Advertisement -

Dr Azman1“Perkara ini semua orang sudah faham. Sebut nama Bank Islam, orang faham bahawa inilah bank yang menggunakan sistem perbankan Islam dalam urusniaga,” ujar AJK PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim.

Katanya, Hospital Islam atau Pusat Rawatan Islam difahami oleh masyarakat sebagai tempat rawatan yang menitikberatkan pematuhan syariat dalam operasi, begitulah juga yang lain.

Menurutnya, mereka memperjuangkan pematuhan syariat Islam dalam bidang masing-masing.

Jelas beliau, PAS sebuah Parti Islam yang turut berperanan sebagai sebuah gerakan Islam yang mana bidang PAS ialah tiga komponen penting iaitu siyasah, tarbiyah dan dakwah.

Tambahnya, walaupun berjuang di medan siyasah Islam, tarbiyah Islam dan dakwah Islam, ia tetap tidak menjadikan PAS satu agama tetapi PAS adalah parti yang berjuang untuk meninggikan agama.

“Ini perkara dasar yang sangat mudah untuk difahami. Kenapa masih ada yang mengulang-ulang perkara lapuk, ‘PAS bukan agama’.

“Siapa pula yang kata PAS adalah agama?” tanya beliau.

Beliau berkata, apa yang membezakan PAS dengan parti lain ialah Islam yang diletakkan sebagai dasar perjuangan.

“Neraca pertimbangan PAS dalam bertindak dan membuat keputusan ialah Islam dengan al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qias sebagai rujukan. Inilah PAS!” jelasnya. – HARAKAHDAILY 20/9/2017

- Advertisement -