Kami bukan keldai agama – Luahan bapa pelajar tahfiz

- Advertisement -

PAGI tadi menghantar anak-anak syurga ke sekolah mereka, meneruskan rutin yang saya tinggalkan  lebih 44 hari selama saya berada di Tanah Suci.

- Advertisement -

Entah kenapa pagi ini agak sebak ketika mengiringi mereka sambil melihat infra yang ada di sekolah Maahad Tahfiz ini.

Saya peluk dan cium mereka kemas-kemas sebelum melepaskan mereka ke sekolah. Bohonglah kalau saya tidak terkesan langsung dengan peristiwa kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tempoh hari.

Terkenang masa mula-mula datang ke sekolah ini 7 tahun lalu untuk tinjauan.

“Abang, betul ke kita nak hantar anak kita ke sini?” saya masih ingat lagi pertanyaan isteri ketika meninjau-ninjau sekolah ini dahulu.

“Insya-Allah. Mudah-mudahan ada barakah di sini. Kita serah selebihnya kepada Allah,” balas saya.

“Andai kata tidak memuaskan, kita tukarkan ke sekolah lain,” tambah saya, memujuk. Saya faham kerisauan dan naluri seorang ibu.

Sedar tak sedar, sudah 6 tahun berlalu dan 3 orang anak sedang bersekolah di sini.

Kira-kira 6-7 tahun lalu, ada kelas di sekolah ini didirikan dari sebuah kontena. Ya, sebuah kontena. Keadaan sangat dhaif.

Dari kelas di kontena dan menumpang teduh di rumah orang, sekarang sekolah sudah ada bangunan 3-4 tingkat sendiri hasil sumbangan orang ramai. Semoga Allah merahmati usaha pendokong dan penyumbang pusat tahfiz ini.

Jika diambil pendapat beberapa netizen tempoh hari, mungkin saya dianggap sebagai bapa yg menjadikan anak-anak sebagai ‘keldai agama’ kerana menghantar anak ke sekolah tahfiz bagi mendapat jalan short cut ke syurga.

Dalam 7 tahun yang lalu, saya sangat berhati-hati utk  membuat keputusan menghantar anak sulung ke sekolah rendah, kesinambungan daripada pra-sekolah Pasti.

Tinjauan pertama ialah beberapa sekolah yang berdekatan dengan rumah. Kebetulan berdekatan dengan rumah saya, ada empat buah sekolah termasuk sekolah rendah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Kesemuanya dalam jarak tidak sampai 1 km dari rumah. Sangat mudah untuk hantar dan ambil.

Ada juga terfikir utk menghantar ke SRJKC namun pra-syarat bagi kaum bukan Cina adalah mempunyai asas bahasa Cina daripada pra-sekolah.

Kemudian,  pilihan untuk menghantar ke sekolah kebangsaan pula terpaksa diletakkan dalam senarai paling akhir apabila saya mengenangkan pengalaman hampir setiap hari melihat para pelajar berpakaian sekolah berpeleseran dan menghisap  rokok di kawasan perumahan yang saya tinggal.

Bukan mudah untuk membuat pilihan dengan pertimbangan dari aspek jarak, kos dan yang paling penting sukatan pelajaran pengajian, sebelum akhir sekali memilih sekolah ini.

Sekolah ini sangat terpencil di pinggiran hiruk pikuk bandar malah saya sendiri terkejut mendapati ada sekolah di sini. Ia langsung tidak ada dalam pilihan saya pada awalnya kerana ia tidak begitu dikenali.

Selepas tujuh tahun membuat keputusan, Allah menunjukkan sesuatu apabila bulan lalu viral senarai sekolah-sekolah bermasalah di seluruh negara, dan antaranya adalah sekolah tadi.

Mengucap panjang saya melihat senarai dalam surat oleh Polis di-Raja Malaysia dengan tajuk ‘Sekolah Hotspot’ yang diikuti lapan mukasurat senarai panjang sekolah yang dimaksudkan di seluruh negara.

Juga ada beberapa sekolah yang tidak jauh dari tahfiz ini dalam senarai itu.

Insiden kebakaran Tahfiz Quran Ittifaqiyah tempoh hari benar-benar meruntun hati dan sanubari kami selaku ibu bapa anak-anak sekolah tahfiz yang sebaya anak-anak tahfiz yang terkorban.

Tambah meruntun apabila membaca komen-komen negatif  terhadap sekolah tahfiz oleh netizen malah juga dari VIP, selebriti, dan tokoh agama.

Ibu bapa mana yang rela anak-anak mereka pergi dalam keadaan begitu rupa. Sebagaimana tidak ada ibu bapa yang redha anak-anak mereka menjadi penagih ganja hingga hilang pertimbangan membakar tahfiz.

Sejujurnya, ketika menghantar anak sulung bersekolah di sini, langsung saya tidak terfikir tentang aspek keselamatan kebakaran.

Sangat naif ketika itu. Pada usia kurang dari 30 tahun, apa yang saya fikirkan ialah, ialah;

“Aku perlu bekerja keras untuk memastikan aku mampu membayar yuran anak-anakku yang akan bersekolah di sini”.

Ia menjadi motivasi terbesar saya dalam  kerjaya iaitu untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak dari pra sekolah ke menara gading.

Jika dikira-kira kos pendidikan keseluruhan untuk lima lima orang anak hingga bergelar graduan, dengan tanggungan sendiri, bukanlah satu jumlah yang kecil. Ia boleh mencecah angka satu juta ringgit apabila dicampur faktor inflasi, kos pengajian, bahan pengajian, tempat tinggal, dan sara hidup.

Sekarang sudah ada tiga orang anak yang bersekolah di sini, kosnya mencecah empat angka sebulan, dan akan bertambah lagi tahun hadapan.

Ia merupakan pelaburan jangka masa panjang untuk menjadikan anak-anak ini sebagai aset di hari kemudian. Bukan sebagai tiket ke syurga tapi mengharap doa anak-anak yang solehah. Tidak lebih dari itu.

Saya pun tahu bahawa hadis yang mengatakan seorang Hafiz Quran dapat memberi syafaat kepada 10 ahli keluarga ke syurga adalah hadis yang dhaif. Bukan itu sandaran saya apabila menghantar mereka ke sekolah tahfiz.

Tapi ia atas dasar inginkan anak yang soleh solehah. Dalam suasana hidup di tengah-tengah kotaraya Metropolitan Kuala Lumpur ini, saya menjadi kurang keyakinan untuk menghantar anak ke sekolah aliran perdana pada usia sekecil itu.

Usia muda perlu diberikan asas dan pasak agama yang kukuh agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya negatif dalam arus perdana apabila menginjak remaja.

Mudah-mudahan anak-anak ini dapat memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan mengiringi jenazah saya ke liang lahad apabila saya pergi kelak. Seterusnya doa mereka selepas saya disemadikan.

Suka atau tidak suka, hakikat yang perlu kita akui ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan kita.

Statistik dan berita tentang salah laku juvenil, anak luar nikah, gangsterisme remaja, pusat pemulihan akhlak dan sebagainya tidak boleh dipandang enteng.

Lantaran itu pendidikan alternatif terutama dari kalangan Maahad Tahfiz menjadi pilihan ibu bapa. Dan tidak dapat dinafikan memang majoritinya dhaif dan serba kekurangan  jika dibandingkan dengan sistem persekolahan arus perdana. Malah  perlu bayar dengan yuran yang lebih tinggi berbanding sekolah bantuan penuh kerajaan dengan infra penuh.

Alangkah bagusnya jika kerajaan dapat menyediakan infrastruktur yang sama untuk sekolah-sekolah sebegini. Atau paling kurang, wujudkan sekolah aliran sebegini dengan bantuan penuh kerajaan dengan gabungjalin silibus akademik, silibus tahfiz dan silibus agama.

Di sekolah ini, pengusahanya bukan berorientasikan keuntungan. Jumlah pelajar yang diambil adalah sangat minima. Temuduga dijalankan terlebih dahulu sebelum diterima masuk.

Saban tahun, akan keluar senarai pelajar yang masih gagal membayar yuran bulanan tapi masih dikekalkan untuk teruskan pengajian. Hanya tidak dibenarkan menduduki peperiksaan.

Hanya jika ada yang tidak mencapai target minima pengajian terutama hafazan, barulah akan diminta kepada ibu bapa untuk ditukar ke sekolah lain sekalipun mampu membayar yuran.

Setiap akhir tahun, hati ini akan berdebar-debar sama ada anak dapat teruskan pengajian tahun hadapan atau pun tidak, kerana selain faktor pencapaian diambil kira, faktor disiplin anak dan komitmen ibu bapa turut diambil sebagai penilaian.

Yang menjadikan saya bertambah yakin menghantar anak-anak ke sini ialah pengetuanya sendiri tinggal di dalam kawasan sekolah dan anak-anak mereka sendiri sekolah di situ.

Hati kecil saya meyakini bahawa pengetua akan menjaga anak saya sama dengan anaknya sendiri walaupun hakikatnya pastinya berbeza anak sendiri dengan anak murid.

Ada hikmahnya atas tragedi yang berlaku. Masyarakat mula membuka mata terhadap institusi tahfiz. Ia perlu dibantu dan diperkasa. Bukan untuk diperlekehkan dan diejek sebagai penunggang agama.

Jika ada petualang yang mengambil kesempatan atas nama tahfiz, ia perlu dibasmi. Jangan sampai disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

Selain anak-anak tahfiz yang perlukan perhatian kita, anak-anak ganja yang membakar tahfiz itu pun perlu perhatian juga.

Cukuplah kesilapan kita menyalahkan pengetua tahfiz tempoh hari kononnya kebakaran berpunca kecuaiannya menyediakan infrastruktur yang selamat.

Cukuplah kita menghentam ibu bapa anak-anak tahfiz ini sebagai keldai agama kerana dikatakan mengambil kesempatan ke atas anak sendiri.

Ya, memang perbuatan mereka membakar sehingga menyebabkan kematian adalah perbuatan yang salah. Biar pihak berkuasa menjatuhkan hukuman setimpal.

Percayalah, anak-anak ganja itu tidak akan jadi lebih baik dengan kita memaki hamun mereka. Kita pun tidak tahu apa latar belakang keluarga mereka. Entahkan berumah entahkan tidak. Entahkan bersekolah entahkan tidak.

Bukan pinta mereka untuk menjadi anak-anak ganja. Kebanyakannya lahir dalam keluarga yang huru-hara dek desakan ekonomi yang menggila.

Allah tarik anak-anak tahfiz muda, dan tinggalkan kita anak-anak ganja ini untuk kita tangani bersama. Mereka hanya segelintir dari ratusan malah mungkin ribuan yang ada di seluruh negara.

Kebakaran ini hanya sedikit amaran Allah turunkan kepada kita sebelum kebakaran besar di hari kemudian kelak.

“Kakak, lepas UPSR nanti Ayah nak hantar Kakak sekolah lain nak?” Pernah saya menduga anak sulung saya.

“Kakak nak sekolah sini. Sini best!” balasnya.

Saya hanya tersenyum. Moga dia terbaik di dunia dan best di akhirat. – HARAKAHDAILY 20/9/2017

- Advertisement -