Gertak tutup tahfiz serlah dengki dan benci

- Advertisement -
AMARAN dikeluarkan Exco Hal Ehwal Agama Islam Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Malek Kassim untuk menutup premis Maahad Tahfiz yang tidak menepati piawaian jelas berunsur ‘ugutan’. Hakikatnya, ia dijadikan kesempatan untuk cuba membantutkan pembangunan Islam di negeri ini.
 
Sikapnya itu sangat naif, dangkal dan tidak bertamadun untuk dilakukan pihak yang memegang tanggungjawab dan kuasa pentadbiran kerajaan negeri. Malah, menjelaskan kedengkian dan permusuhan terhadap perkara berkaitan Islam yang sering ditunjuk kecenderungan itu oleh DAP selaku teraju kerajaan.
 
Gesaan itu tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan sebenarnya menjurus ke arah menghapuskan institusi tahfiz. Sepatutnya beliau bertindak dengan matang dan bijak membantu menangani kekurangan entiti yang telah sedia wujud dan mendatangkan manfaat besar kepada awam seperti menyalurkan dana dan seumpamanya.
 
Beliau sendiri mengetahui kebanyakan maahad tahfiz di Pulau Pinang bergerak atas kapasiti persendirian. Ia mengharapkan sumbangan dana daripada orang ramai bagi membangunkan prasarana dan pengajian mereka. Sewajarnya inisiatif itu diperkukuhkan lagi, bukan diranapkan umpama marah nyamuk kelambu dibakar.
 
Bantuan boleh juga dihulurkan melalui arahan kepada semua jentera kerajaan negeri bagi memberikan sokongan dan kerjasama yang baik terhadap pembangunan institusi berkenaan. Kemudahan daripada sudut pengurusan pendaftaran, pembangunan, kebajikan guru-guru dan pelajar perlu dipandang serius.
 
Bukan bertindak pilih kasih seperti nasib yang pernah dilakukan ke atas Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) di Permatang Pauh dan Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) di Balik Pulau yang dinafikan peruntukan sumbangan kepada mereka atas alasan sekolah ini diurus oleh parti politik PAS.
 
Tindakan kerajaan negeri tidak memberikan sumbangan kepada SRIBU dan SRIA ini jelas menunjukan sikap hipokrasi dan bermuka-muka terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Maahad Tahfiz. Sepatutnya mereka ini juga berhak menerima sumbangan sebagai rakyat Pulau Pinang dan berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
 
Sekarang rakyat sudah bijak menilai bahawa Kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir urus oleh DAP dan PKR ini tidak ada beza dengan kerajaan Umno-BN yang tidak mesra Islam. Contohilah Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir urus dengan cemerlang oleh PAS terhadap ehwal SAR atau institusi seperti ini.
 
Mereka memberikan bantuan dan kerjasama yang amat cemerlang kepada semua Maahad Tahfiz dan SAR yang ditubuhkan di seluruh negeri Kelantan.Tidak ada satu pun yang ditutup sepanjang 27 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, bahkan lebih banyak yang tumbuh di sana ibarat “cendawan yang tubuh selepas hujan”.
 
Pada hari ini Kelantan menikmati hasil lumayan atas pelaburan besar mereka kepada ‘anak-anak syurga’ ini bila mana lulusan pelajar daripada institusi pengajian ini mula berkhidmat dan berbakti kepada negeri Serambi Makkah itu. Rahmat Allah terus melimpahi rakyat negeri Kelantan atas perhatian mereka itu.
 
Kenyataan itu juga membuktikan kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas sesuatu premis. Hairannya, kerajaan negeri tidak pula pantas untuk menutup premis judi, arak dan kilang haram di negeri ini yang mendatangkan pelbagai kesan negatif. Bahkan dilihat pula melindunginya. Di mana suara Malek dalam perkara ini?
 
Mewakili seluruh saf kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang kami merakam ucapan takziah buat semua mangsa , keluarga dan kakitangan Maahad Darul Quran Al-Ittifaqiah atas uji Allah dengan musibah kebakaran yang berlaku semoga tabah dan sabar serta didoakan kembali bertemu disyurga-Nya.
 
USTAZ MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 20/9/2017
 
- Advertisement -