Infak tanah rumah demi PASTI: Arwah Reduan permata di Bumi Felda

- Advertisement -

TEPAT jam 1 pagi, whatsapp bertalu talu masuk ke telefon penulis. Ada yang bertanya betulkah jiran ayah, Ahmad Reduan Ashaari meninggal.

- Advertisement -

Membelek-belek whatsapp terdahulu, benar sahih pemergian insan bernama Reduan ini. Penulis lebih mesra menggelarnya Acik Duan.

Nama mesra antara kami keluarga jiran dengan beliau. Hari raya beliaulah akan menjadi tetamu paling awal datang ke rumah ayah, apatah lagi tiada pagar mahupun jarak memisahkan rumah kami.

Keluarga kami berjiran dan markas PAS Cawangan dan PASTI Nurul Hidayah Palong 4 juga di rumahnya, sementara Pejabat Cawangan kini pula baharu sahaja dipindahkan di rumah ayah, apatah lagi PAS Cawangan yang diketuai Abu Samah Harun kini sangat aktif bergerak dalam lapangan masyarakat.

arwah

(Foto: Arwah pada minggu lepas sedang memelas simen menyiapkan markas PAS Palong 4.)

Kalau dahulu, masyarakat setempat kenali beliau dengan Duan Roti Canai, kerana beliau berniaga roti canai di tepi Kedai KPF dan kemudiannya di gerai tepi jalan di Pusat Bandar Palong 4.

Beberapa tahun kebelakangan dia tidak berniaga kerana faktor kesihatan.

Arwah Reduan mesra orangnya, tidak pernah kasar tutur bahasanya. Sentiasa senyum. Berniaga pun dia mesra, tidak lokek, tidak kedekut dengan pelanggannya.

“Din hang belajaq di U lagu mana? Ramai dak budak budak U ni hak sokong kita (PAS)? Tok sah takut, hang teruskan perjuangan, aku dulu dengan ayah hang nak berjuang kat sini (Felda Palong 4) ni pun susah, tapi kami terus buat” ayat Arwah Reduan semasa mula mula penulis pulang pada cuti semester pertama selepas mendaftar Ijazah Pertama di Universiti Malaya tahun 1997.

Nama arwah sangat dikenali dalam kalangan masyarakat di Felda Palong hingga ke Pasir Besar, apatah lagi arwah antara pengasas awal yang menjadikan tanah dan rumahnya markas PAS.

“Dua orang ni (Arwah Reduan dan Ayah penulis) bakar tak hangus,” ini telahan seorang bekas Pengurus Felda, Encik Yusof Maalim kepada penulis semasa penulis bertemu dengan beliau untuk mendapatkan tandatangan borang borang semasa mahu mendapatkan bantuan kewangan pengajian.

Seingat penulis ceramah ketika era reformasi, Arwah Reduan sanggup membiarkan tanahnya ditarah demi melihat ratanya kawasan tempat orang mendengar ceramah.

Rumah Felda lama miliknya diwakafkan untuk mula-mula menempatkan Markas PAS Cawangan Palong 4. Ketika itu kami beramai ramai mengangkat rumah tersebut untuk dialih posisinya menghadap betul-betul ke arah rumah ayah penulis.

Kami berjiran, tanah rata depan rumah telah diinfak demi perjuangan Islam. Tidak sesekali anak anak mahupun isterinya merungut marah kerana rumah jadi markas.

Begitulah mulianya hati insan bernama Ahmad Reduan Ashaari. Dua anaknya pergi sebelumnya, Arwah Ahmad Faizal yang menghidap leukemia dan Arwah Ahmad Syakir seorang lepasan tahfiz juga meninggal dunia kemalangan motosikal.

Kini beliau pula mengiringi anaknya menemui Sang Pencipta. Panggilan Allah pada awal pagi 19 September memberi kejutan kepada kami. Arwah pergi dalam keadaan mengejut, katanya kerana komplikasi jantung.

Hiba dan terasa sedih, tiada ungkapan dapat dilafaz selain mendoakan arwah ditempatkan ke Jannah Allah.

Beberapa bulan lalu, ketika penulis berceramah di markas tersebut bersama Ustaz Roslan Md Esa dan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Khairul Yazman Yahya, beliau tiada di markas kerana pulang ke Kedah atas urusan keluarga.

Tiap kali pulang ke Palong 4, kalau beliau ada di rumah, cerita politik panas menjadi resepi perbualan kami, tak kira pagi raya atau dalam istilah cuti apa sekalipun.

Ayah penulis memaklumkan, sejak kebelakangan ini, Arwah Reduan tanpa ada istilah rehat bersama Abu Samah dan rakan rakan lain berusaha keras menyiapkan PASTI dan juga Markas Tarbiyah PAS Palong.

Kekuatan ini ditambah dengan tenaga muda yang dirintis antaranya Husna Amin, Nuruddin Zenkie Hamzah selain guru guru PASTI yang cekal berjuang.

Kelibat arwah Reduan pasti sangat dirindui, apatah lagi kepada rakan rakan, anak anaknya, dan kami yang muda ini yang amat menyanjung tinggi pengorbanan yang Arwah Reduan lakarkan sejak sekian lama di Felda Palong 4.

Dialah tukang bancuh simen, dia juga tukang memelas simen di dinding. Dahulu dia menaikkan tiang-tiang bunga untuk menyambung atap markas untuk diluaskan lagi markas tersebut.

Sedikit keluhan tak terdengar dari mulutnya, apatah lagi rungutan tatkala berbicara mengenai pembangunan PASTI Palong 4 dan markas sejak dahulu.

Kantung wangnya terkadang kering kerana mahu melihat markas tersergam indah di hadapan rumah.

Kini beliau tiada lagi.. Pergi tak akan kembali lagi.

Tanah dan keringat Arwah kepada PASTI dan Markas menjadi saksi di bumi agar pahalanya mengalir untuk arwah bersemadi tenang dan damai di Jannah Allah.

Sesungguhnya Arwah Reduan permata di Bumi Felda, Tanah Beradat… Damailah engkau di sana…. Al Faatihah… – HARAKAHDAILY 19/9/2017

 

- Advertisement -