Terima kasih DBKL haramkan pesta arak 2017

- Advertisement -

TAHNIAH kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di atas penolakan permohonan dan “mengharamkan” penganjuran “Pesta Liar Arak” Better Beer Festival 2017 yang digemparkan sebelum ini akan berlangsung awal Oktober depan.

- Advertisement -

“Permohonan aktiviti itu pada tempat, masa dan tarikh yang dinyatakan adalah tidak diluluskan.

“Sekiranya penganjur meneruskan aktiviti tersebut, DBKL berhak mengambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” kata Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khalid Zakaria.

Firman Allah SWT bermaksud: “Hendaklah ada segolongan dari kamu yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran….” (Surah Ali-‘Imran: 104)

NURIDAH1Jika kemungkaran itu disaksikan oleh seorang individu dan beliau berupaya melakukan pencegahan atau pengubahan, maka wajiblah hukum ke atasnya berbuat demikian. Begitu juga jika kemungkaran itu disaksikan atau diketahui oleh satu jamaah, namun mereka tidak berupaya melaksanakan pencegahan kecuali seorang daripada mereka, maka wajiblah hukumnya ke atas yang seorang itu. Jika seseorang itu tidak bangun untuk melaksanakannya, berdosalah ia.

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

Sesungguhnya arak ini banyak mudaratnya di samping merosakkan akhlak dan akidah manusia daripada beriman kepada Allah SWT dan merosakkan keperibadiannya.

Bukan itu sahaja, sosial manusia juga boleh hancur akibat daripada meminum arak. Ia bakal menyebabkan permusuhan dan kebencian dan memporak-perandakan rumah tangga, keluarga, masyarakat dan negara.

Kesihatan manusia juga akan terjejas seperti tekanan darah tidak menentu, rosaknya urat saraf, menyebabkan hepatitis, sakit jantung, rosak buah pinggang, kanser, angin ahmar, lumpuh, keracunan, gila, gangguan pencernaan (contohnya ulser perut) penyakit hati kekurangan makanan dan kekurangan zat makanan, masalah tumpuan dan ingatan,
keadaan kesihatan mental, bunuh diri dan tingkah laku bunuh diri, kerosakan otak dan pelbagai lagi penyakit yang membawa kemudaratan kepada peminum arak.

Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) sangat menyokong tindakan tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL mengharamkan Better Beer Festival 2017 bagi melahirkan negara yang lebih aman dan sejahtera.

Terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan membantah Pesta Liar Arak ini. Semoga kita semua sentiasa cakna dan peduli tentang isu semasa yang bakal meruntuhkkan serta merosakkan minda generasi muda khususnya dan membawa kesan negatif buat masyarakat sejagat. Selamatkan Malaysia, Selamatkan Aqidah Umat Islam!

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
27 Zulhijjah 1438 / 18 September 2017

- Advertisement -