PLUS tidak harus dijual

- Advertisement -

LAJNAH Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU) memandang dengan bimbang laporan terbaru yang mengesahkan desas desus sebelumnya bahawa terdapat cadangan daripada Tan Sri Abu Sahid Mohamed untuk mengambil alih Lebuhraya Utara Selatan melalui pembelian Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Tawaran Tan Sri Abu Sahid dilakukan melalui syarikat miliknya Maju Holdings Sdn. Bhd. (Maju). LEPU menegaskan bahawa tawaran ini harus ditolak.

- Advertisement -

PLUS adalah pemilik dan operator lebuhraya terbesar Malaysia dengan menguruskan Lebuhraya Utara Selatan dan beberapa lagi lebuhraya sekitar Lembah Klang yang kejauhan sepanjang hampir 1000 kilometer. Struktur pemilikan saham PLUS sekarang adalah 51% UEM Group Berhad (UEM) dan 49% Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). UEM dan KWSP bersama telah mengambilalih PLUS Expressway Berhad sebanyak RM23 billion dalam tahun 2011.

MazliZ2Manakala Maju memiliki dan operator Maju Expressway yang menghubungkan Putrajaya ke Kuala Lumpur sejauh 26 kilometer. Antara tawaran Maju adalah menaik taraf Lebuhraya PLUS, tiada kenaikan tol selama 20 tahun dan menawarkan kadar pulangan (IRR) sebanyak 20%.

Dengan struktur pemilikan PLUS sebagaimana disebut di atas, PLUS adalah asset penting kepada pelaburan KWSP. Ini adalah kerana ianya asset yang sudah matang dan mampu memberikan sumbangan dividen yang mampan dan berkekalan kepada KWSP dan lebih 14 juta pencarum-pencarum. Sebagai strategi pelaburan jangka panjang, adalah penting PLUS kekal dalam portfolio KWSP bagi mengekalkan polisi dividen KWSP sedia ada.

Jesteru itu semua pemegang saham PLUS, iaitu UEM dan KWSP serta juga pemilik mutlak termasuk Khazanah Nasional Berhad, harus menolak tawaran yang diberikan oleh Maju demi menjaga kepentingan dan kemampan pulangan kepada semua pencarum KWSP. Sebagai tabung simpanan pekerja yang mandatori, KWSP harus melihat kepada pulangan yang bersifat jangka panjang sebagai jaminan masa depan pencarum. Adalah susah untuk KWSP mendapatkan pelaburan asset yang matang dan mampu memberikan pulangan mampan sebagaimana yang diberikan oleh pelaburan dalam PLUS sekarang.

Disamping itu PLUS juga adalah asset strategik untuk negara, bukan sahaja selaku projek infrastruktur penting negara, malah juga dari segi struktur modalnya. Perlu dimaklumkan bahawa selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC), PLUS mendapat pengecualian cukai sepanjang tempoh konsesinya. Ini bagi tujuan untuk mengurangkan kos bagi membantu pengurusan bon yang ditawarkan oleh PLUS, yang mana sebanyak RM11 billion daripadanya dijamin oleh kerajaan. Jesteru, sebagai asset strategik negara dari segi infrastruktur dan modal, PLUS harus kekal milik kerajaan.

Dalam menilai tawaran pengambilalihan ini, KWSP selaku agensi pelaburan harus meletakkan kepentingan dan masa depan pencarum sebagai keutamaan dan tidak semata-mata penilaian komersil. Oleh itu LEPU sekali lagi menegaskan bahawa tawaran mengambilalihan PLUS ini harus ditolak dan PLUS tidak dijual.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU).
27 Zulhijjah 1438H/18 September 2017M – HARAKAHDAILY 18/9/2017

- Advertisement -