Pesta arak: PAS Selangor terus istiqamah perjuangkan kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

PAS Selangor akan terus berusaha dan berjuang bagi memastikan rakyat Selangor khususnya akan terus menikmati kesejahteraan hidup. Kami mengajak seluruh rakyat berusaha dan berganding bahu bagi menyuburkan amalan hidup sihat, saling hormat menghormati antara kaum dan agama serta kembali berpijak kepada akar budaya yang luhur dan santun.

- Advertisement -

Sehubungan itu, PAS selangor berpendirian bahawa penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) pada awal Oktober ini hanya akan menjadi penghalang dan perosak terhadap usaha membina kesejahteraan rakyat berbilang kaum dan agama.

Sewajarnya semua pihak mengambil iktibar dan pengajaran tentang kes-kes dan tragedi kemalangan, pergaduhan, perceraian, kezaliman dan banyak lagi yang berpunca dari pengambilan alkohol yang berlebihan. Apatah lagi BBF17 ini akan menampilkan 250 jenis arak yang berbeza dari tidak kurang 43 syarikat arak. Bukan sekadar budaya bahkan Islam dan seluruh agama yang lain juga melarang dari mengambil arak kerana kemudharatannya dan kesan buruk yang besar.

Sepatutnya juga kita mengambil peringatan dari laporan peringkat antarabangsa melalui organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010 yang bertajuk “Global Strategy to reduce the hamful use of alcohol” yang secara langsong mengaitkan bahaya pengambilan alkohol secara berlebihan.

Ada yang berpandangan bahawa pesta BBF17 ini bertepatan dengan demokrasi. Harus diingat bahawa demokrasi bukan tiket untuk membolehkan semua perkara dilakukan atau kebebasan mutlak. Sewajarnya demokrasi digunakan untuk mencapai matlamat keharmonian dan kesejahtetaan serta saling hidup hormat menghormati rakyat itu dapat dinikmati bersama.

PAS Selangor akan terus senada dan sehaluan dengan semua pihak, kaum dan agama untuk terus berusaha bagi menyuburkan amalan hidup sihat dan waktu yang sama menghalang apa sahaja usaha dan amalan yang merosakkan kesejahteraan rakyat.

“Menerajui Kesejahteraan Selangor”

YB Ustaz Sallehen Mukhyi
Pesuruhjaya PAS Selangor

- Advertisement -