Bukan Sultan Kedah jadi Agong Tunku berundur

SubkyLatif
- Advertisement -

SAYA ikuti sepenuhnya siaran langsung permakaman al-Marhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim dari beberapa setesen TV.

- Advertisement -

Ada yang cuba mengingat sejarah, apakah benar Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra berundur justeru mengelak dari menjadi penasihat kepada Sultan Kedah itu naik takhta Yang di-Pertuan Agong kali pertama tahun 1970 dulu?

Memang ada yang berkata, Tunku pernah berkata begitu. Tetapi sejarah itu tidak begitu sekalipun betul Tunku pernah berkata begitu.

Adalah betul Tunku mengumumkan perletakan jawatan Perdana Menteri sebelum Sultan Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong. Tetapi sejarah yang tepat ialah Tunku telah menjadi Perdana Menteri yang tidak berkuasa lebih setahun sebelum Sultan Abdul Halim jadi Yang di-Pertuan Agong.

Masa itu Tunku jadi Perdana Menteri saja, tinggal di kediaman rasminya juga, Residensi, terus menerima elaun Perdana Menteri, tetapi kuasa Perdana Menteri sudah terlucut pada malam 13 Mei, 1969.

Belum sempat al-Marhum mengangkat sumpah bagi menyambung jawatan Perdana Menteri sebaik usai Pilihan Raya Umum dua hari sebelumnya. Apabila 13 Mei tercetus, Tunku masih berada di Kedah, belum pulang ke Kuala Lumpur bagi memulakan penggal baru Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Tun Razak mengisytiharkan pemerintahan Mageran dengan beliau sendiri menjadi pengarahnya.

Tun Razak sebagai Pengarah Mageran mengambil alih kuasa Perdana Menteri sepenuhnya, demokrasi digantung, Parlimen hanya ada bangunan tapi kosong ahli kerana calon yang menang belum mengangkat sumpah.

Selama setahun Tunku begitu, dipanggil juga Perdana Menteri tetapi kuasa sudah diambil alih oleh Tun Razak. Kuasa yang tinggal padanya hanya sebagai Presiden Umno. Oleh kerana demokrasi digantung, parti politik pun tidak bergerak.

Tunku dipercayai didesak untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri yang sudah tidak dapat menjalankan tugas Perdana Menteri, tetapi beliau hanya bersedia dengan syarat dikembalikan demokrasi dan pulihkan Parlimen.

Dengan sejarah yang comot itu, Tunku dilucutkan secara tidak demokrasi, bahkan mungkin ikut pintu belakang perlembagaan, maka tidak menjadi sejarah Tunku berundur kerana anakanda saudaranya jadi Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Halim adalah putera kekandanya, Sultan Badli Shah. Jika Tunku dikatakan mengelak jadi penasihat anak saudaranya yang menjadi Agong, ia adalah satu dalih bagi mengindahkan rekod bangsawannya bahawa bangsawan sewajar berjiwa besar.

Jika Tunku membuat alasan itu adalah mengelakkan beliau dari dikata digulingkan dari jawatan oleh partinya dan oleh orang kepercayaannya. Jika Tunku takwil pembentukan kerajaan Mageran itu tidak dirujuk kepadanya dan partinya Umno, nescaya kelam kabutlah Tun RAzak dan bergolaklah Umno.

Tegang 13 Mei itu adalah untuk beberapa minggu saja. Kehidupan harian rakyat, peniagaan dan ekonomi, dagangan dalam dan luar negeri pulih seperti sedia kala. Jika dipulihkan demokrasi dan politik boleh bergerak bebas, dipeercayai pasukan keselamatam boleh mengawal keamanan.

Jika Tunku jenis hendak mempertahankan kuasanya, beliau ada hak. Tetapi darah bangsawan berjiwa besar dipercayai bersabar, menerima takdir.

Mungkin Tunku ada memikirkan anakanda saudaranya bakal jadi Agong, dan supaya Agong bebas dari pengaruh bapa saudara sebagai Pedana Menteri, mungkin sesuai baginya berundur dalam keadaan beliau berkuasa penuh dan berwibawa. Peralihan kuasa kepada penggantinya dibuat secara demokrasi dan bersopan.

Dengan demikian barulah tepat sejarah beliau berundur kerana mahu memberi kebebasan kepada Agong baru yang berkerabat dengannya. – HARAKAHDAILY 18/9/2017

- Advertisement -