Projek tebatan banjir gagal?

- Advertisement -
KANGAR: Projek Tebatan Banjir Lencongan Barat Perlis bernilai RM560 juta dilihat menjadi punca kepada kejadian banjir kilat di daerah ini walaupun pembinaannya bertujuan untuk menangani permasalahan tersebut.
 
Dalam tahun ini sahaja, empat kali banjir terjadi, manakala tahun lalu direkodkan banjir berlaku sebanyak enam kali menyebabkan penduduk menanggung kerosakan harta benda terutama melibatkan Kampung Tebing Tinggi, Bintong di sini.
 
Malah, sebahagian rumah penduduk di kampung itu mengalami masalah keretakan yang agak serius dipercayai berpunca dari kerja-kerja ‘pilling‘ kuat dilaksanakan oleh pihak kontraktor projek tebatan tersebut.
 
Simpati terhadap penduduk yang menjadi mangsa banjir, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar dan Majlis Tindakan Dun (MTD) Bintong telah mengadakan ziarah dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di  Kampung Tebing Tinggi, semalam.
 
Ziarah dipimpin Ketua Pemuda PAS Kawasan Kangar, Dr Saifizi Saidon dan Pengarah MTD Bintong itu adalah sebagai keprihatinan dan kebajikan terhadap mangsa banjir di mana sumbangan berupa keperluan harian dapur dan kewangan diberikan.
 
Turut serta pada ziarah itu adalah Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis, Amirul Jufri Md Saman dan beberapa pimpinan Unit Peti Undi (UPU) di situ.
 
Mewakili penduduk Kampung Tebing Tinggi, Pemuda PAS Kangar dan MTD Bintong meminta Kerajaan Negeri Perlis melalui Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man agar segera menangani masalah tersebut mengikut terma dan syarat kontrak. – HARAKAHDAILY 17/9/2017
- Advertisement -