Muhasabah: Apa ertinya saya bersama PAS?

- Advertisement -

PENGUMUMAN kemasukan semula Tan Sri Muhammad Muhd Taib, mantan Menteri Besar Selangor ke dalam Umno oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini tidak memeranjatkan bahkan ada sebahagian besar rakyat Malaysia sekadar tersenyum simpul dan ramai yang sinis.

- Advertisement -

Sidang Media yang diwar-warkan sejak semalam memang ada unsur suspen kerana diingatkan akan ada berita menggemparkan seperti pembubaran Parlimen, rombakan Kabinet hatta ada yang nakal menduga pengumuman perletakan jawatan Perdana Menteri. Akan tetapi rupa-rupanya hanya pengumuman biasa yang tiada ummph! Senyum.

Tan Sri Muhammad asalnya dari Umno dan pernah menjadi Menteri Besar Selangor. Beliau kemudiannya terpaksa meletak jawatan kerana kes di Australia yang semua sedia maklum. Beliau selepas itu menyertai PAS pada 22 April 2013 dan semasa di dalam PAS banyak bekerja bersama Datuk Mahfuz Omar di bawah Lajnah Penerangan PAS. Selepas Muktamar PAS 2015, beliau kemudiannya meninggalkan PAS dan menyertai PKR pada 10 September 2015 bersama Datuk Kamaruddin Jaafar.

Saya pernah beberapa kali berprogram bersama Tan Sri Muhammad ketika beliau bersama PAS dan saya saat itu menjawat jawatan Setiausaha PAS Kawasan Miri. Antaranya Sambutan Hari Malaysia di Miri pada tahun 2014 selain bermesyuarat bersama sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pusat Dakwah Serantau.

Begitulah secara ringkas kenangan saya bersama beliau. Dari Umno bila dia rasa diketepikan kemudian menyertai PAS, selepas kecewa kekawannya kalah Pemilihan dalam Muktamar PAS kemudian menyertai PKR dan hari ini 17 September 2017 dia kembali ke pangkuan Umno.

Saya juga masih ingat kata-kata bila Tamrin Ghafar keluar PAS, ada kedengaran yang menyebut, “Tamrin ini belum sempat ditamrinkan sudah keluar PAS!” Begitulah jugalah ramai mantan pimpinan PAS yang dulu ucapannya berapi-api dan menyentuh hati, hari ini bila keluar parti diuji dengan ucapannya sendiri yang diungkapkan dulu. Semoga Allah kekalkan kita semua dalam kebaikan dan istiqamah sehingga akhir hayat. Allahumma Aamiin.

Tujuan posting ini ialah untuk memuhasabah mengapa kita bersama sesebuah parti atau jamaah. Apa ertinya saya menyertai sebuah Parti Islam yang diberi nama PAS dan menggabungkan diri bersama Gerakan Islam ini?

Ini persoalan penting untuk dijawab oleh semua Ahli PAS! Saya memilih untuk bersama PAS kerana Dasar PAS ialah ISLAM, Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR dan tujuannya ialah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaannya.

Perlu diingat PAS ini bukan tempat transit untuk mendapat keuntungan politik, bukan juga sarana bagi yang cuba mencari peluang. Lebih dari itu, ia bukan parti bagi mereka yang mempunyai cita-cita dan agenda peribadi.

Benarlah kata-kata Almarhum Ustaz Fadzil Nor berikut:

“Jangan masuk PAS kalau anda cari dunia. Jangan panggil diri anda pejuang Islam kalau anda nak manusia puji anda. Anda jangan perasan macam anda ‘ulamak kalau perjuangan anda setakat serban, jubah dan kopiah. PAS bukan untuk orang yang buru dunia. PAS adalah untuk orang yang buru Akhirat. Hidup mulia atau mati syahid. Mati beriman. Hidup bermaruah. Minta ampun dengan Allah Ta’ala kalau ada buat dosa tapi jangan putus asa dengan Allah Ta’ala.”

Saya optimis dan yakin bahawa PAS mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan penting di Malaysia bagi memastikan syar’iat Islam terus terbela melalui usaha-usaha proaktif yang perlu digembelengkan dan dipacu bersama.

Marilah kita sentiasa melakukan muhasabah agar terus cemerlang di dalam Sekolah Kehidupan. Ayuh kita teruskan usaha memperbaiki diri dan mengajak orang lain untuk sama-sama memberi sumbangan untuk agama. Sesungguhnya, ‘title is not the measurement of a man but by his contribution’. Rasulullah SAW teladan seluruh umat telah bersabda: “Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling bermanfaat untuk manusia yang lain.”

Bahkan, kita telah diberi berita gembira melalui firman Allah SWT di dalam Kitab Suci Al-Qur’an Al-Kariim yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang beriman dan mengerjakan amal yang soleh ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Di syurga itu mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas dan mutiara, dan pakaian mereka adalah sutera..” (Surah Al-Hajj, ayat 23). – HARAKAHDAILY 17/9/2017

Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) & Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS).

- Advertisement -