Mampukah PAS dan Umno ditiadakan?

- Advertisement -

DALAM gelung sosio politik negara kita, PAS dan Umno bukan hanya dikenali sebagai dua buah parti politik yang besar yang sentiasa bersaing, bahkan ia sudah membentuk dan menjadi institusi kehidupan masyarakat Melayu Islam. Ertinya, PAS dan Umno begitu penting dan berpengaruh sekali membina masyarakat.

- Advertisement -

Anda masuk sebuah kampung, anda tidak kekok untuk bertanya penduduk, kampung ni kuat PAS atau Umno? Mereka pula tidak segan untuk menjawab dengan syarahan yang panjang dan tersendiri. Walaupun di sesetengah tempat, hubungan antara parti PAS dan Umno agak tegang, tetapi kehidupan berjalan dengan masing-masing menerimanya sebagai satu hak dan pilihan.

PAS dan Umno adalah laras perjuangan bangsa Melayu Islam sejak zaman kemerdekaan. Ia kisah panjang dan bersejarah. Sejarah pula dengan isinya yang manis atau pahit akan mengalir dalam hela dan nafas kehidupan yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya.

Perjuangan adalah tulang belakang kehidupan bertamadun. Tanpa perjuangan, sesebuah bangsa akan hilang dari peta atau terperosok jauh ke belakang. Sebuah perjuangan menuntut dan memburu kemenangan tanpa penat dan lelah. Itu penamatnya. Selagi kemenangan tidak ditemukan, selagi itu nafasnya terus bersambungan. Semakin ia disakiti, semakin garang hela nafasnya dihembuskan. Tidak pernah hina bangsa yang hidup mendakap kemas perjuangan mereka.

PAS dan Umno begitulah. Umno selepas menerima teraju negara daripada penjajah Inggeris terus hidup berjuang memajukan negara. Mereka mahu membuktikan kemampuan dan hak bangsa Melayu untuk merdeka dan membina sendiri negara mereka.

Umno memperkukuhkan hak ketuanan Melayu ke atas negara Malaysia. Mereka juga berjuang demi membuktikan hak dan upaya mereka untuk terus mentadbir negara walaupun setelah 60 tahun negara mencapai kemerdekaan. Sehingga hari ini mereka terus membakar semangat ahlinya dengan laungan keramat ‘perjuangan kita belum selesai’.

PAS pula menongkah arus perjuangan Umno dengan meluncurkan perjuangan atas nama Islam. Islam mesti didaulatkan dalam sebuah negara merdeka. Tiada erti merdeka tanpa Islam didaulatkan. Tiada guna kemerdekaan negara yang menjunjung ayat-ayat cinta penjajah kuffar barat. Tanah Melayu mesti kembali sebagaimana asalnya. Ia adalah tanah air yang pernah terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya dengan sejahtera sehinggalah barat datang memerangi dunia Islam timur dengan misi dendam menghancurkan khilafah Islamiyah sepenuhnya.

Bagi PAS, selepas dunia barat berjaya mencapai matlamat besar mereka itu di tanah Arab dan tanah-tanah Islam di belah timur, maka tiada lagi perjuangan sesuci perjuangan menegakkan kembali panji dan bendera Islam di seluruh dunia Islam termasuk di Tanah Melayu. PAS ditubuhkan bersama-sama kebangkitan perjuangan Islam di seluruh dunia Islam.

Hari-hari perjuangan menuntut kemerdekaan adalah hari-hari di mana Umno dan PAS mula menjarak dan membina kekuatan masing-masing di dalam masyarakat Melayu. Penjajah barat menerima kehadiran Umno yang menerima kompromi untuk mematuhi syarat-syarat yang diberikan ke arah kemerdekaan negara.

Penjajah barat mengharamkan pertubuhan politik Islam Hizbul Muslimin yang menolak sebarang kompromi yang bertujuan mengekalkan matlamat asal penjajahan, bahkan bertegas menuntut kemerdekaan atas nama Islam. Pada ketika laluan perjuangan Islam yang lebih terkedepan disempitkan, laluan berpermaidani dibuka untuk Umno bagi mengambil alih teraju pentadbiran negara selepas kemerdekaan.

PAS dan Umno selepas kemerdekaan terus berkembang. Umno berkembang lebih maju berbanding PAS dengan kelebihan menjadi pemerintah yang secara langsung mampu menonjolkan keupayaan mereka memajukan negara. PAS pula berkembang sebagai sebuah parti pembangkang yang kuat sehingga mampu memenangi negeri Kelantan dan Terengganu.

Persaingan politik

Persaingan politik di negara baru pasca kemerdekaan yang beriringan dengan proses pematangan sebuah negara demokrasi berparlimen menyaksikan PAS dan Umno semakin menjarakkan diri dengan isu-isu kelemahan dan ketidakadilan di dalam pemerintahan. PAS semakin lantang bersuara mengkritik Umno.

Sehingga hari ini, pada ketika kehidupan semakin deras mengalami perubahan demi perubahan dalam gaya hidup, PAS dan Umno kekal bersaing. Ketika parti-parti pembangkang pasca kemerdekaan semakin hilang ditelan zaman, PAS semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah parti pembangkang yang dihormati. Umno pula meniti hari-hari penat dan menyakitkan dengan pelbagai isu dan skandal negatif yang semakin mengikis keyakinan dan sokongan rakyat.

Tetapi apa yang tidak berubah ialah masing-masing PAS dan Umno masih kekal sebagai dua buah parti Melayu Islam yang dominan. Tiada parti lain yang mampu menunjukkan kekuatan seperti kedua-duanya. Ia adalah hakikat yang masih belum mampu dinafikan oleh semua pihak walaupun telah wujud parti-parti baru yang kuat seperti PKR dan Bersatu. DAP pula kekal sebagai parti pembangkang bukan Melayu yang kuat bagi menyaingi kekuasaan parti MCA dan MCI yang memerintah.

Secara mudah, sebagaimana dijelaskan di atas, persaingan antara PAS dan Umno adalah kembali kepada dua perkara pokok. Pertama adalah isu Islam. Manakala yang kedua adalah isu ketidakadilan terhadap rakyat. Isu Islam dan kedaulatannya memanjang sedari perjuangan menuntut kemerdekaan lagi. Isu ketidakadilan di dalam pemerintahan pula bermula sejak Umno memulakan tugasnya sebagai pemerintah selepas kemerdekaan dicapai.

Ia adalah dua isu yang boleh diasingkan dan boleh juga disatukan. Jika diasingkan, maka ia agar mudah difahami bahawa isu agama adalah turut melibatkan akidah. Manakala isu ketidakadilan politik bukanlah isu akidah. Ia adalah isu perlaksanaan hukum halal haram di dalam pemerintahan. Ia adalah soal dosa dan pahala.

Jika disatukan, maka ia agar mudah difahami bahawa agama tidak boleh diasingkan peranannya di dalam memandu pemerintahan. Islam adalah agama dan daulah. Samada rakyat atau agama dizalimi, kedua-keduanya adalah sama, ia adalah kezaliman yang mesti dilawan dan ditentang.

Haramkan kezaliman

Allah mewajibkan keadilan dan mengharamkan kezaliman terhadap rakyat. Pemerintah yang gagal menjaga amanah pemerintahan dan gagal menjalankan keadilan terhadap rakyat adalah dikira zalim dan fasik. Rakyat berhak menukarkan mereka dengan pemerintahan yang lebih baik.

Allah juga mewajibkan sebuah negara dipandu dengan ugama. Islam atau al Quran mestilah di atas segala kekuasaan di dalam pemerintahan negara. Menolak hakikat ini adalah mencarik keimanan dan melanggar garisan merah akidah Islam. Ia adalah kezaliman terbesar. “Sesungguhnya syirik adalah kezaliman maha besar,” sebagaimana firman Allah. Telah nyata bahawa mempercayai dan mengutamakan perlembagaan yang bercanggah secara nyata dengan al Quran adalah syirik kepada Allah.

Pemerintah yang gagal menjunjung kedaulatan ugama wajar ditukar kepada ganti yang bersedia mendaulatkan ugama. Ertinya, samada pemerintah zalim terhadap rakyat atau terhadap ugama, rakyat berhak menukar mereka dan menggantikannya dengan pemerintah yang lebih baik, lebih amanah dan lebih bersedia untuk mencapai keadilan yang diseru oleh ugama.

Walau bagaimanapun peringatan besar ugama ialah sebarang perubahan mestilah dilakukan dengan cara yang tidak menjemput kerosakan lebih besar seperti pertumpahan darah sesama rakyat atau semakin mengukuhkan cengkaman negara asing ke atas negara. Justeru PAS mengalu-alukan amalan politik damai dan menyeru kesemua pihak termasuk pemerintah agar membudayakannya.

Inilah asas utama persaingan PAS dan Umno. Pada hari pertama, Umno gagal mendaulatkan Islam. Pada hari-hari seterusnya, sebagaimana Islam terus berdilema untuk memperolehi kedaulatannya, Umno juga tanpa dinafikan kejayaan membangunkan negara dan memajukannya, turut berhadapan kesalahan melakukan kezaliman dan jenayah politik dan ekonomi terhadap rakyat. Kedua-dua kesalahan inilah yang akhirnya melemahkan Umno hari ini.

PAS terbukti istiqamah dengan perjuangan asalnya mendaulatkan Islam. Tidak berganjak walau seinci selepas puluhan tahun berjuang. PAS juga terbukti lebih baik di dalam mentadbir negeri-negeri yang diperintahnya berbanding Umno yang besar kuasanya. Islam diberdayakan dan rakyat disejahterakan.

Di mana hujungnya persaingan PAS dan Umno? Adakah ia persaingan selama-lamanya atau sehingga salah satunya gugur dan hilang? Ini adalah persoalan besar yang menarik perbincangan demi perbincangan dan usaha demi usaha.

Untuk menanti salah satunya gugur adalah amat sukar walau tidak pernah mustahil. Untuk menanti kedua-duanya bersatu adalah sukar juga walaupun tidak pernah mustahil. Untuk kekal melihat kedua-duanya terus bersaing dan bertarung adalah amat menyeksakan apabila menyaksikan perpecahan antara umat Islam dalam negara yang tak berkesudahan. Untuk melihat kedua-duanya lenyap dan berganti dengan yang baru lagi-lagilah sukar untuk diimpikan. Jadi apa kesudahannya cerita PAS dan Umno?

Penyelesainya?

Saya cuba menitipkan beberapa cadangan untuk diperhalusi. Ia akan menyaksikan gelung sosio politik negara yang menyaksikan PAS dan Umno terbentuk sebagai satu institusi kehidupan umat melayu Islam mampu bertranformasi ke arah yang lebih menguntungkan agama dan negara.

Pertama, ia mestilah bukan usaha menyatukan dua parti besar tersebut menjadi satu parti. Usaha ini walaupun nampak hebat dan bagus, hakikatnya akan menjemput perbalahan dan perpecahan baru yang tidak mudah ditamatkan. Lagi pula ia akan mematikan persaingan sihat sedia ada yang amat diperlukan dalam sebuah negara demokrasi.

Kedua, ia mestilah bertunjangkan penyelesaian secara Islam. Samada PAS atau Umno, kedua-duanya adalah parti umat Islam. Mengharmonikan antara kedua-duanya tanpa landasan ugama hanyalah harapan palsu dan membuang masa. Allah tidak akan memenangkan kesatuan umat islam di atas jalan selain jalan Islam. Bahkan sebaliknya Allah menjanjikan kehinaan di dunia dan akhirat. Lihat sahaja realiti umat Islam seluruh dunia. Kalimah perpaduan berbuih di mulut tetapi yang berlaku adalah darah yang tumpah.

Ketiga, usahakan keadilan yang lebih baik agar semua pihak berjalan di atas lunas demokrasi dan kebebasan yang diterima ramai. Ia termasuk mengembalikan hak-hak yang dirampas dan dihalang sebelum ini. Menuntut perdamaian dengan terus menggengam kezaliman yang nyata hanyalah sati usaha angkuh dan peras ugut yang tidak membuahkan apa-apa hasil. Ia hanya usaha si mulut manis yang menyimpan kejahatan menghancurkan lawan.

Keempat, kedua-dua parti mestilah membuang ego masing-masing dan membuka ruang baru untuk perbincangan yang lebih mendorong kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyatnya yang lestari.

Kelima, ketekunan dan kesabaran yang tinggi serta tidak mudah dipengaruhi unsur-unsur jahat yang berusaha menghancurkan perjuangan menegakkan Islam di dalam negara.

Walaupun apa yang saya titipkan seperti memberi kelebihan kepada PAS, tetapi hakikatnya PAS sendiri mestilah melakukan transformasi diri ke arah lebih baik. Kejayaan hanya tercapai melalui perubahan diri diutamakan berbanding perubahan orang lain. Siapa pun yang berubah kepada kebaikan lebih awal, dialah yang paling berhak mencapai kejayaan dan memimpin.

Apabila PAS memperkenalkan Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) sebagai langkah transformasi imej PAS, maka saya yakin PAS telah memulakan langkah awal ke arah hubungan PAS dan Umno yang lebih baik untuk ugama dan negara.

Jika Umno turut sama, maka ia adalah keuntungan untuk ugama dan negara. Jika Umno enggan, maka PAS pasti mampu memimpin negara ke arah lebih baik. Siapa pun tidak mampu menghalang apabila rakyat memilih untuk bersama PAS.– HARAKAHDAILY 16/9/2017

- Advertisement -