Bantu maahad tahfiz, bukan menutupnya

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
- Advertisement -

INILAH nasib pusat pengajian Islam. Rendah kelasnya di mata mereka. Berlaku beberapa insiden yang tidak diingini, maka ada pihak mula memekik agar pusat tahfiz segera ditutup. Sejak dulu, ‘nasib Sekolah Agama Rakyat (SAR) dianak tirikan’.

- Advertisement -

Sudahlah bantuan *perkapita ditarik pada zaman Tun Mahathir*, pusat pengajian Islam ini sering diperlekeh oleh pembenci Islam. Pantang ada musibah yang berlaku maka timbullah pihak yang lantang bersuara agar mana mana tahfiz atau pondok yang tidak lengkap aspek keselamatan ini ditutup.

Sikap serupa tidak pula berlaku apabila hospital terbakar, sekolah kementerian terbakar dan sebagainya. Tiada pula suara suruh tutup semua hospital. Tutup semua sekolah kementerian. (Itu dalam keadaan saya kira bangunan hospital adalah bangunan paling selamat, pun boleh terbakar)

Kita semua tahu bahawa demikian bukanlah sikap yang matang dan sifat yang baik.

Kita sedia maklum, umumnya pusat pengajian Islam yang dianjurkan oleh rakyat ini serba kedhaifan. Tetapi persoalannya, kenapa mereka mahu menutupnya? Alangkah baik jika mereka mencadangkan supaya pusat-pusat pengajian Islam ini di bantu sehingga ia menjadi sempurna.

‘Jangan tarik bantuan’, sebaliknya berikan segala kemudahan walaupun ia bukan milik kerajaan. Pendemokrasian ilmu mestilah ‘adil’ kepada semua genre atau disiplin pengajian termasuklah pengajian Islam.

Pusat pengajian Islam rakyat inilah yang banyak melahirkan para huffaz dan alim ulamak yang berjasa pada negara dan ummah.

Isu keselamatan dan musibah yang menimpa, jangan dijadikan peluang untuk menutup pusat pengajian Islam ini. Sebaliknya ambik aspek positif dengan membantu dan melengkapkan aspek keselamatan yang diperlukan agar dapat meminimumkan kemungkinan buruk berlaku.

Sementara siasatan adalah diserahkan kepada pihak berkuasa terutama berdepan dengan dakwaan atau kemungkinan berlakunya khianat dan unsur jenayah.

Saya sememangnya agak sentimental dengan institusi pengajian Islam ini. Justeru saya jadi “manusia” apabila belajar di pondok Pasir Tumboh Kelantan. (Asbab hidayah Allah swt) Sebuah pusat pengajian Islam yang sangat sederhana sifatnya. Kerana ia hanyalah dibangunkan hasil kesedaran rakyat.

Namun siapa berani nafi, ‘betapa sekolah atap ini (pondok) yang telah berjaya melahirkan ribuan para alim ulamak dan cendikiawan Islam’.

Pondok ini juga pernah mengalami kebakaran. Alhamdulillah semuanya selamat pada waktu itu.

Tetapi saya juga pernah alami detik ngeri apabila asrama sekolah saya semasa belajar di Sekolah Menengah Dato Mahmud Mat Pekan Pahang juga pernah terbakar dan Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa.

Apa yang saya nak sebut di sini ialah, ‘kebakaran satu musibah’. Kita minta jauh dari musibah ini, sementara dalam masa yang sama, semua pihak ambil langkah keselamatan yang terbaik.

Tapi apabila berlaku kebakaran atau musibah lainnya, maka ‘jangan kita skeptikal dengan pusat pengajian Islam’ sehingga ada pula pula yang sinis kepada pengusaha pusat pengajian Islam ini.

Selama mana ia adalah anjuran rakyat, dengan kekangan kewangan dan sebagainya maka akan banyak kelemahan yang didapati wujud pada pusat pengajian tersebut. Maka pihak yang berkemampuan khasnya kerajaan, ‘tampillah dengan menghulurkan bantuan pra sarana dan segala kepakaran serta kemudahan yang ada untuk menaik taraf pengajian Islam ini’.

#jangantutuppusatpengajianislam

- Advertisement -