Melengkap persiapan menuju kemenangan

- Advertisement -
KUALA KANGSAR: Pemuda PAS telah digerakkan oleh Allah S.W.T untuk sama-sama menyahut dan menyambung gendang perang PRU14 yang akan tiba pada bila-bila masa di mana ia menjadi medan kepada perjuangan PAS.
 
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Pemuda PAS akan terus bergerak dengan visi untuk memperjuangkan tertegaknya hukum hakam agama Allah S.W.T di negara serta mempertahankan kesucian Islam.
 
“Itulah misi yang menjadi akidah perjuangan kita dan membezakan PAS dengan parti-parti lain. Bahkan segala usaha dikerahkan bagi merealisasikan misi tersebut khususnya dalam pilihan raya bermula dari dulu sehingga pilihanraya akan datang.

{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

- Advertisement -

“Dalam sejarah, negeri Perak menjadi negeri pertama calon PAS menang dalam pilihan raya. Kita memasuki pilihanraya sebagai pendekatan muwajahah silmiyah yang mengikut manhaj yang diajar kepada kita oleh Al-Quran.
 
“Kita masuk pilihan raya walaupun kita tahu ia sistem demokrasi, bahkan kita tidak pernah beriman dengan sistem tersebut,” ujarnya pada Jelajah Hijau Pemuda PAS Perak, 10 September lalu.
 
Menurutnya, PAS apabila menang memerintah negara kelak akan melaksanakan tuntutan yang perlu dilaksanakan dari kewajipan khilafah berdasarkan acuan Al-Quran dan Sunnah.
 
Kerana itu tegasnya, sangat penting kepada para Pemuda PAS untuk meletakkan dalam diri masing-masing bahawa memasuki PAA tidak hanya bermatlamat mencapai kemenangan PRU semata-mata.
 
Beliau mengingatkan kepada semua agar tanamkan dalam diri untuk memenangkan Islam, namun tidak menjadikan dalam hati untuk menang PRU semata-mata kerana apabila kalah pasti akan kecewa.
 
Jelasnya, walaupun PAS kalah, tetapi hakikatnya tetap menang di sisi Allah S.W.T kerana telah berjaya memperjuangkan dan mempertahankan Islam.
 
Menurut Khalil, perjuangan PAS dari dulu lagi melalui pilihan raya PAS lebih banyak kalah dari menang tetapi sokongan PAS, perjuangan PAS serta keahlian terus meningkat.
 
“Matlamat utama PAS menyertai pilihan raya adalah untuk memperbaiki masyarakat di dalam negara kita. Kita tidak beriman dengan demokrasi, bahkan marhalah yang dilalui oleh Islam pada hari ini adalah marhalah bertahan.
 
“Di Mesir masuk pilihan raya menang parti Islam dan akhirnya terkandas, maka naik Abdul Fatah As-Sisi sehingga ramai pimpinan Ikhwanul Muslim ditangkap serta dibunuh.
 
“Begitu juga apa yang berlaku di Yaman, kerana takut parti Islam masuk pilihan raya menang, maka diatur peperangan yang terus berlaku hari ini.
 
“Di bumi Tunisia pula, bila menang parti Islam Harakah An-Nahdhah lalu ditekan sehingga mereka terpaksa membuang jati diri Islam,” katanya lagi.
 
Beliau menegaskan bahawa PAS memerhati dan mempelajari setiap yang telah berlaku di negara Islam agar dapat mengambil pengajaran serta mencapai keredaan Allah S.W.T.
 
Tambahnya lagi, sudah tentu PAS inginkan kemenangan, bahkan sesiapa sahaja berjuang matlamatnya adalah untuk mencapai kemenangan walaupun parti yang meletakkan dasar perjuangannya selain Islam.
 
Malahan katanya, parti komunis yang tidak percaya pada Islam dan parti sosialis anti kepada Islam, tetap mahukan kemenangan, apatah lagi parti Islam semestinya mencapai kemenangan.
 
Justeru PAS melihat kemenangan dalam Islam ada feqh, diantara paling penting adalah kemenangan pada perjuangan Islam untuk menegakkan Islam.{/mprestriction}
- Advertisement -