Kerajaan Selangor akan bantu mangsa kebakaran pusat tahfiz

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Selangor akan membantu mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang berlaku di sini awal pagi tadi.

- Advertisement -

Exco kerajaan negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Menteri Besar Selangor yang turun sama melawat tapak kebakaran akan sama-sama melihat jenis keperluan dan bantuan yang diperlukan bagi mangsa kebakaran yang terlibat.

“Saya dimaklumkan polis bahawa sekolah ini hanya ada satu jalan keluar dan kebakaran bermula di situ jadi bermakna pelajar-pelajar dan guru tidak dapat larikan diri sebab hanya ada satu jalan keluar manakala tingkap sekolah terbabit dipasang pagar.

Kita bagaimanapun berharap, isu-isu melibatkan keselamatan ini tidak boleh dikompromi lagi sebab sebenarnya ada undang-undang kecil yang ditetapkan oleh pihak bomba dan majlis, saya berharap semua peraturan itu dapat dipatuhi bagi mengelak insiden yang sama berulang lagi,” katanya yang berada di lokasi kejadian.

Beliau yang berada di lokasi kejadian memaklumkan kejadian seumpama itu cukup menyayat hati dan ratusan orang awam hadir menyatakan rasa simpati kerana sekolah tahfiz adalah antara aset berharga yang sering menjadi perhatian awam atas sumbangan awam untuk menggerakkan aktiviti sekolah.

Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka berharap semua pihak lebih peka dan meminta kerajaan memperuntukan sejumlah dana untuk sekolah-sekolah tahfiz memperbaiki kelemahan aspek keselamatan yang sudah tentu memerlukan kos yang lebih tinggi.

Lebih 20 pelajar tahfiz termasuk tenaga pengajar di pusat tahfiz itu dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi. – HARAKAHDAILY 14/9/2017

- Advertisement -