Gagasan Sejahtera akan meriah selepas PRU14

- Advertisement -

ORANG bertanya jika PAS berjaya meraih 40 kerusi sasaran, dan tiada parti atau pakatan yang berjaya membentuk majoriti mudah 112 kerusi, PAS akan pilih untuk bersama siapa?

- Advertisement -

Masih terlalu awal untuk menjawab persoalan ini secara spesifik. Ia bergantung kepada rundingan nanti. Bergantung siapa yang boleh tawarkan kepada PAS peluang yang lebih baik untuk agenda yang PAS perjuangkan. Siapa yang lebih kecil ancamannya terhadap Islam dan kestabilan negara.

Bukan soalan PAS mahu bersama siapa yang patut ditanya, tetapi soalan sepatutnya adalah siapa yang sanggup bersama PAS? Kerana mengikut keadaan sekarang, BN dan PH yang terhegeh-hegeh mendekati PAS. Mereka keluar dan mengetuk pintu rumah PAS. Bukan PAS ke rumah mereka.

Kenapa perlu hadkan minda seolah PAS hanya punya dua pilihan jika berlaku situasi hung parliament; sama ada PAS menyertai BN atau PH. Sedangkan situasi yang sepatutnya berlaku adalah parti komponen BN atau PH yang menyertai Gagasan Sejahtera.

Mungkin dalam BN, ada parti yang boleh bersama agenda perjuangan PAS. Dalam PH juga mungkin ada. Tetapi oleh kerana dalam kedua gabungan tersebut ada juga yang tidak boleh bersama, maka merekalah sebenarnya yang harus buat pilihan sama ada nak kekal bersama pakatan mereka, ataupun keluar dan bersama Gagasan.

Waktu ini mungkin kita lihat Gagasan agak sepi. Kerana Gagasan bukan sebuah gabungan yang populis. Dalam diam, gagasan gigih bekerja merangka agenda pasca pilihan raya, untuk membina semula Malaysia mengikut dasar baharu yang sedang diteroka.

Tetapi percayalah, pasca pilihan raya, Gagasan akan jadi sangat meriah. Pakatan lain pula akan hidup segan mati tak mahu.

Apapun, ini semua cerita selepas pilihan raya. Adapun untuk menempuh pilihan raya ini, sudah ada keputusan muktamad. PAS tidak akan menyertai PH atau BN. Juga tidak ada sebarang kerjasama secara individual dengan DAP, dan semua parti yang bekerjasama dengan DAP.

Portal media tajaan parti lain usahlah bermain persepsi kononnya PAS masih terbuka untuk rundingan dengan parti lain. Jangan ada yang loyar buruk kononnya PAS cuma tak mahu bersama PH sahaja, tetapi bersama PKR secara individual masih boleh berlaku. Itu semua khalayan yang tidak akan berlaku. Presiden PAS sudah mengeluarkan kenyataan tegas:

“Tidak akan bekerjasama dengan DAP, dan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP!” 

23 Zulhijjah 1438
14 September 2017 – HARAKAHDAILY 14/9/2017

- Advertisement -