Penasyid Perlu Ikut Trend Artis?

- Advertisement -

ADA seorang rakan lama peminat nasyid bertanyakan kepada penulis, soalan agak sukar untuk dijawab.

- Advertisement -

“Wan kenapa ana tengok ada penasyid hari ini rupa mereka tidak ubah macam artis biasa? Sedangkan artis nasyid dulu semua memakai pakaian yang melambangkan mereka ini penasyid dan membawa syiar agama. Lagu lagunya pula dah macam rentak lagu rock atau hip hop hari ini.. macam pelik dah bunyinya.. ni nak berdakwah ke tidak, ” kata rakan penulis dengan nada sedikit kecewa bunyinya.

Pertanyaan itu dilontar usai Konsert Kesenian Islam di sebuah sekolah yang mana penulis adalah salah seorang tenaga utama menganjurkan program tersebut.

” Nasyid pun bergerak ikut peredaran zaman, ana rasa tidak menjadi kesalahan andai penasyid juga sedikit sebanyak ikut trend sekarang ni agar mereka mampu menembusi khalayak yang lebih besar di luar sana. 

{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

“Macam kami anjurkan program ini, kami jemput UNIC, sebuah kumpulan nasyid yang baharu sahaja menang tempat pertama di Gema Gegar Vaganza yang disiarkan Astro sebelum ini. Pada saya penganjurannya boleh dikatakan mampu menarik kembali khalayak untuk mendengar dan mengamati lagu lagu nasyid ketuhanan yang dalam masa sama mengajak pendengar kembali kepada menjalani hidup sebagai seorang Muslim,” telahan penulis kepada sahabat yang terlalu minat dengan lagu lagu nasyid lama antaranya yang pernah didendangkan oleh kumpulan Al Jawaher, Al Anwar, Qatrunnada, Nadamurni, Nadi Kinanah, Suara Hati, Diwani dan beberapa yang lain.

Tidaklah dinafikan bahawa muzik nasyid juga mengalami perubahan sejak 20 tahun lalu.

Jika sebelum ini kita mendengar lagu lagu nasyid dengan alunan gendang, tanpa gitar dan sangat tradisional sifatnya, maka hari ini nasyid sedemikian sudah berubah wajah penampilannya termasuk dimasukkan instrument baharu bunyi hasil ubahsuai dan rekacipta inovasi baharu di studio yang lebih kemas dan mantap cara penyampaiannya.

Malah ada juga lagu lagu nasyid yang bunyinya seperti lagu Rap, Hip Hop, Rock dan Balada.

Lihat sahaja pada tahun 1990 hingga awal 2002, lagu lagu nasyid mengalami perubahan drastik dimana ketika itu ia digelar sebagai nasyid kontemporari dimana kemunculan kumpulan Hijjaz, Rabbani dan Diwani dan beberapa kumpulan lain hasil pecahan Nadamurni dan beberapa kumpulan nasyid sezaman Al Arqam memayungi industri ini, bentuk dan gubahan lagu sudah mula berbeza malah terdapat pengubahsuaian bentuk lagu mengikut peredaran ketika itu.

Lagu lagu Pergi Tak Kembali, Pelita Hidup, yang kekal ciri motivasi diri dalam beragama berubah cara penyampaian muziknya.

Lebih dari itu, kemunculan kumpulan seperti In Team, Brothers, Now See Hearts, Mestica, UNIC, Far East, Wildan, dan kemudiannya membawa kepada kumpulan baharu seperti Castury, Rast, Saff One, As Sauffe, Syifa, NICE, dan sebagainya menyemarakkan lagi industri Nasyid menjelang tahun tahun kehebatan lagu dakwah ini sekitar 2007 hingga 2012 dan terakhir bilamana adanya Daurah Minggu Ini, Akademi Nasyid yang juga menampilkan Arwan Azhan Atan sebagai juara sulong program itu, namun kemudiannya industri ini sedikit menyepi dan terus menyepi walaupun penggiatnya masih bertahan dengan cabaran kemasukan lagu ketuhahan dari Timur Tengah antaranya lagu dari Sami Yussof dan sebagainya yang menjadikan peminat lagu ketuhanan beralih arah.

Kehadiran semula program realiti Gema Gegar Vaganza dilihat menjadi penyuntik semula industri Nasyid yang terpendam seketika dengan kemunculan kumpulan UNIC, Hijjaz, Saujana, Mirwarna, dan beberapa yang lain termasuk solo artis hijrah yang menjadi daya tarikan.

Hari ini, lagu lagu nasyid kembali bergema di corong radio, lagu Ainul Mardiah lantunan UNIC yang diperhebat dengan sedikit pengubahsuaian lirik dan rentak menjadi siulan anak muda dan juga nyanyian para peminat muzik samada di aplikasi SMULE ataupun mereka peminat tegar YouTube.

Ramai artis mula menyanyikan lagu Ainul Mardiah pasca rakaman semula oleh UNIC termasuk artis yang meletup namannya di YouTube dan SMULE iaitu Khai Bahar dan Wany Hasrita.

Namun berbalik kepada persoalan asas yang dilontar rakan penulis tadi, apakah perubahanan ini harus sama sekali menjadikan para penasyid mengubah gaya penampilan mereka turut serta seperti artis lain, isu ini harus dibincang semoleknya agar peningkatan sokongan ke atas industri nasyid yang sedang berlaku hari ini dapat diurus dengan baik demi melihat dakwah melalui nasyid hidup segar di jiwa masyarakat negara ini.

6 September 2017

-Penulis adalah AJK Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat juga Ketua Editor Kumpulan Harakah. {/mprestriction}

- Advertisement -