Kukuhkan persiapan untuk kembali memerintah

- Advertisement -

MENYAHUT kesediaan PAS Kedah ke arah kembali mentadbir kerajaan negeri, dengan ini diisytiharkan bahawa kami sayap Pemuda PAS telah bersiap di semua 36 Dun dan 15 Parlimen seluruh negeri ini bagi menghadapi PRU14. Selain sebagai jentera kerja, para Pemuda juga antara ramai yang tersenarai sebagai calon, sekali gus membayangkan kalangan Pemuda akan membarisi teraju pemerintahan.

- Advertisement -

salimkedahBerdasarkan kesedaran yang berlaku, kami yakin rakyat negeri Kedah sedang menanti untuk memberikan semula mandat kepada PAS, di mana keberanian untuk berubah itu telah pun ditunjukkan pada PRU12 tahun 2008 terdahulu. Pencapaian sepenggal pentadbiran PAS dalam memacu negeri Jelapang Padi ini dapat dinilai banding dengan pemerintahan Umno-BN selama 53 tahun sebelumnya.  

Paling penting, pastinya rakyat mendapat pengalaman berguna sepanjang lebih empat tahun BN mengambil alih tampuk Kerajaan Negeri Kedah sejak PRU13 tahun 2013 lalu. Ternyata sepanjang tempoh ini, undi rakyat telah dipersiakan dengan porak peranda politik yang dilakukan para pemimpin BN Kedah. Sesama mereka sibuk berebut jawatan hingga berlaku pertukaran Menteri Besar dan penyingkiran.

Natijahnya, Kedah kosong dari pencapaian memberangsangkan dalam banyak segi. Hanya gah dengan tindakan kosmetik dan jangka pendek yang dilihat lebih bermotif meraih sokongan. Malah, segala janji ditabur dalam Manifesto BN PRU13, tidak juga tertunai hingga kini. Begitu juga Enam Projek Ikonik yang pernah dikemukakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, seakan kekal menjadi mimpi.

Kalangan pemimpin Umno-BN yang sedang mengisi kerusi pentadbiran kerajaan negeri ketika ini pula, ternyata tandus wawasan untuk memacu masa depan Kedah. Sudahlah begitu, ada antara mereka merupakan pemimpin yang korup dan terkait dengan skandal penyelewengan lampau. Sudah tentu, tanggungjawab pemerintahan tidak sewajarnya diserahkan kepada mereka yang curang dan tiada integriti.  

Rakyat selaku pengundi juga perlu waspada agar tidak terpedaya untuk bereksperimen memberi undi kepada parti-parti Pakatan Harapan (PH). Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menunjukkan taring sebenarnya, serta bukti dominasi DAP ke atas PH. Ia membenarkan sama sekali kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa undi PH bererti memberi undi kepada DAP.

Kit Siang telah menggesa supaya PH tidak mensia-siakan potensi di Kedah dengan meletakkan parti yang tidak berpeluang menang tanpa menyebut parti dimaksudkannya. Beliau juga menamakan empat Dun iaitu Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam dan Jitra sebagai kubu kuat BN yang perlu dimenangi PH. Serta Kit Siang mahu kerusi Dun Gurun dan Kulim diberikan kepada DAP.

Malah, beliau menekankan PH harus menunjukkan perpaduan lebih kukuh dan mantap. Semua katanya itu jika dirangkumkan, dapat difahami betapa ia berupa terma ‘perintah atau arahan’. Kit Siang telah membayangkan antara PAN, PPBM dan PKR; terdapat parti yang tidak berpeluang bertanding di Kedah. Ketika sama, beliau menyimpangkan fokus palsu dengan ‘Misi Mustahil’ di empat Dun tersebut.

Pada semua strategi diatur itu, beliau meletakkan jaminan menambah sekurang-kurangnya dua kerusi bagi DAP, sekali gus menjadi langkah melebarkan pengaruh di negeri ini. Inilah liciknya DAP yang tentunya juga akan menggunakan seluruh kekayaan dimiliki parti itu untuk memastikan rakan PH dipengaruhi mereka. Rakyat negeri Kedah perlu hindari diri agar tidak terjebak ke kancah dicaturkan ini.

Mendirikan semula ‘Kedah Sejahtera’, kami akan mengangkat gagasan untuk memberdayakan Kedah menjadi Hub Pendidikan Islam dan Pembangunan Insan, serta Hub Halal di rantau ini. Ia akan ditampilkan sebagai satu bentuk sumbangan penting Kedah kepada negara. Signifikan kepada gagasan ini adalah atas kompetensi, wibawa serta pengalaman dimiliki oleh rata-rata Pemuda PAS Kedah.

Malah, ketiga-tiga perkara ini adalah asas kepada sektor lain yang sentiasa berkembang sama ada pengurusan, pembangunan, ekonomi, teknologi, sosial dan sebagainya. Kerana kami melihat, Kedah mempunyai akar sejarah, prasarana yang banyak serta tenaga ramai dan berkemampuan untuk menjana Pendidikan Islam dan Pembangunan Insan ke satu mercu terunggul bagi rantau ini.

Kami mahu kelak ianya akan mengenalkan Kedah dengan julukan ‘Serambi Al-Azhar’ di mana seluruh institusi berkaitan yang ada dalam negeri ini akan disatu dan disepadukan; dari pengasuhan bayi hingga pengajian tertinggi. Begitu juga Pembangunan Insan, mensasarkan Kedah khususnya dan negara amnya kepada pengurangan sebanyak mungkin penjara sedia ada.

Bermakna, menjadi tempat terpenting dalam pemulihan masalah-masalah sosial yang teruk melanda dewasa ini. Manakala sumber utama bagi Hub Halal, akan didukung oleh pelbagai aktiviti berkaitannya daripada daya berdikari para penduduk negeri ini dengan bantuan aktif agensi-agensi kerajaan. Ia bukan sahaja mewujudkan pasaran murah, tetapi juga pendapatan buat kebanyakan penduduk.

Dengan segala sumber dimiliki, di samping faktor lain; antaranya laluan kereta api, serta berjiran dengan Pulau Pinang yang ada pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa, hub halal sememangnya berpotensi di Kedah. Ditambah pula dekat dengan Thailand yang terkehadapan dalam sektor pertanian. Hanya perlu diperkasakan lagi dengan latihan kemahiran dan inovasi kepada mereka yang terlibat.

Hasrat dalam mengutarakan gagasan ini akan kami bawa sebagai satu suara dari kalangan wakil Pemuda yang berada dalam kepimpinan kerajaan, seterusnya didukung pelaksanaannya juga oleh Pemuda. Kami kini bersedia memikulnya dan menyeru rakyat negeri Kedah untuk bersama agar impian ini tercapai dan legasi Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dihebatkan lagi.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ SALIM MAHMOOD
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
9 September 2017 | 18 Zulhijjah 1438 – HARAKAHDAILY 9/9/2017                      

- Advertisement -