Kalau MB hanya baca luahan netizen pada sidang Dun…

- Advertisement -

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, disarankan agar lebih matang dan kehadapan sesuai dengan tanggungjawab beliau sebagai ketua pemimpin sebuah negeri.

- Advertisement -

bashahTindakan beliau membaca luahan rasa salah seorang netizen yang ditular di media sosial semasa ucapan penggulungan pada persidangan Dun Kedah lalu, bukan sahaja dilihat membuang masa malah tidak sesuai langsung dilakukan di majlis seumpama itu yang seharusnya memberi penekanan kepada hala tuju pentadbiran dan permasalahan negeri.

Luahan rasa netizen berkenaan yang hanya berkisar kepada tanggungjawab institusi masjid dalam merealisasikan kebajikan masyarakat sekeliling sepatutnya hanya diambil sebagai rujukan contoh dan bukannya membaca keseluruhannya, seolah-olah sidang dewan berada di dalam rancangan realiti yang banyak dianjurkan oleh televisyen dewasa ini.

Sebagai pemimpin sebuah negara, beliau seharusnya melaksanakan program-program yang memberi manfaat kepada rakyat dalam pelbagai sudut dan bukannya merujuk kepada program anjuran masjid mahu pun NGO kerana kerajaan lebih mampu merencana program yang jauh lebih baik dari institusi dan pertubuhan-pertubuhan berkenaan. Kemampuan kerajaan lebih tinggi dan penglibatan serta skop pelaksanaan lebih menyeluruh malah bukan itu sahaja, tanggungjawab sesebuah negara atau negeri itu adalah lebih besar dan luas.

Tidak perlu mengajak Sidang Dun bersimpati atau tersentuh dengan luahan berkenaan andainya kerajaan negeri masih gagal melaksanakan program-program kebajikan kepada rakyat terutama golongan kurang berkemampuan. Apa tindakan kerajaan di saat rakyat terbelenggu dengan kekangan kos sara hidup yang semakin melonjak naik, harga barang keperluan semakin mahal, harga getah dan padi semakin menurun dan cukai GST yang menjerat leher rakyat tanpa mengira status dan latar belakang.

Sidang Dun diminta peka kepada cadangan netizen berkenaan agar menggunakan tabung masjid untuk kebajikan masyarakat kariahnya namun beliau lupa kerajaan negeri sendiri gagal memanfaatkan perbendaraan negeri membantu rakyat sehingga ada di kalangan anak-anak penoreh getah yang ke sekolah tanpa membawa duit belanja sedangkan dalam masa yang sama, harta-harta negeri diraih semahu-mahunya.

Sekadar program Barakah yang kononnya untuk membantu rakyat miskin, itu hanya pelaksanaan yang boleh dibuat oleh NGO atau parti-parti politik lain. Kalau sekadar bantuan one-off, RM100 berbentuk barangan, itu bukan taraf negeri terutama diterajui oleh Barisan Nasional yang kononnya cekap mentadbir negara. Kerajaan seharusnya merancang program kebajikan yang lebih besar serta mampu membantu golongan berkenaan meningkatkan taraf hidup untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Atau adakah di dalam pemikiran pemimpin Umno/Barisan Nasional, tindakan berkenaan sudah memadai untuk golongan miskin dan kurang berkemampuan.

Cukuplah rakyat setiap hari rakyat mengalas perut dengan ikan kering, telor rebus, pucuk paku, tinggal di rumah yang atapnya bocor, dindingnya reput dan tiangnya senget asalkan projek-projek ikonik yang menjadi kebanggaan mereka dapat dilaksanakan. Membina stadium baharu dilihat lebih diutamakan, membina litar lumba menjadi perancangan,cukuplah rakyat bawahan dihulurkan wang bersama sekampit beras asalkan itu mampu menjadi nadi penyambung hayat Umno/Barisan Nasional terus berkuasa.

BR1M dicanang sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, RM1,200 setahun dijulang umpama mampu mengubah kehidupan sedangkan duit rakyat diperah dengan cukai GST. Bukan semua rakyat berpendapatan rendah menikmati BR1M, sedangkan pengemis di jalanan, warga emas yang setiap hari menjual pucuk-pucuk ulam di pekan-pekan hari, ibu tunggal saban pagi bersengkang mata membuat kuih jualan, anak-anak yatim berputih mata dengan keperluan persekolahan, namun mereka juga tidak terkecuali dikenakan cukai GST. Apakah ini yang dinamakan ‘rakyat didahulukan’.

Seharusnya rakyat jangan tertipu untuk kali ke-14, celikkan mata, luaskan minda, jangan memandang tingginya bangunan, luasnya kolam renang, besarnya rumah-rumah di taman perumahan, sedangkan nasib sendiri belum berubah. Lampu cempeni tua masih setia di sudut bilik, tirai lusuh masih digantung setiap musim perayaan, ikan kering dan cabai masih menjadi santapan utama, basikal buruk dan motosikal cabuk masih menjadi teman setia. – HARAKAHDAILY 10/9/2017

- Advertisement -