Pelarian Marawi tersisih tanpa bantuan

- Advertisement -

KETIKA umat Islam menghala simpati terhadap nasib pelarian Rohingya, namun ramai terlepas pandang penderitaan penduduk Muslim di Kota Marawi.

- Advertisement -

Sejak lebih tiga bulan konflik perang tercetus bermula Mei lepas ratusan ribu pelarian terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Pengerusi Moro Islamic Liberation Front (MILF), Murad Ebrahim berkata, konflik di Kota Marawi berbeza dengan peristiwa yang berlaku di Mindanao secara umum.

Katanya, tidak ramai umat Islam di negara lain tahu perkembangan yang berlaku di Marawi sekarang.

“Kami berharap insiden seumpama ini tidak berjangkit ke tempat lain di Mindanao. Setakat ini MILF tidak terlibat dalam konflik perang itu.

“Apa yang berlaku sekarang antara kumpulan Maute, Abu Sayyaf dan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang dilabel pengganas kerajaan Filipina,” katanya pada satu pertemuan dengan Delegasi NGO Korban Mindanao dari Malaysia di Camp Darapanan, Cotabato City, baru-baru ini.

Oleh itu Murad merayu umat Islam di negara lain menghulur bantuan bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung pelarian dari Kota Marawi.

Pertempuran di Kota Marawi tercetus apabila pihak tentera Filipina menyerbu tempat persembunyian Isnilon Hapilon pada 23 Mei lalu.

“Harapan besar kami kepada dunia dan umat Islam supaya membantu Marawi. Pelarian dianggar lebih 200,000 orang sekarang di mana 99 peratus beragama Islam.

“Masyarakat dunia juga harus melihat keperluan yang amat mendesak akibat peperangan antara kerajaan dengan pihak terbabit di Marawi,” jelasnya.

- Advertisement -