Datuk Nasir calon terbaik terajui TRW

- Advertisement -

KEPIMPINAN baru yang bakal menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) perlu dipimpin oleh anggotanya bukan sahaja memiliki kepakaran dan pengalaman tetapi yang menjadi keutamaan adalah bukan dalam kalangan orang politik, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Kelantan Dato’ Abdul Fattah Mahmood.

- Advertisement -

Katanya, rakyat negeri Kelantan yang sememangnya peminat tegar bola sepak akan memberi sokongan semula kepada Skuad TRW jika pemimpin yang dipilih ini berpengalaman dan bukan daripada mana-mana parti politik.

Beliau turut memberi sokongan penuh kepada calon pilihan, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, berdasarkan pengalaman yang dimiliki tokoh tersebut.

“Beliau banyak membantu penajaan Kafa sebelum ini, dan saya merasakan  beliau boleh memajukan bola sepak Kelantan dengan pengalaman yang dia ada selama di dalam Kafa,” katanya kepada Harakahdaily.

Kafa akan mengadakan Kongres Agung Tahunan Kali ke-63 pada 17 September depan dan mempelawa calon yang berkelayakan untuk memimpin badan induk bola sepak negeri itu bagi penggal 2017-2021.

Kongres itu akan dihadiri perwakilan dari persatuan bola sepak jajahan (PBJ) dan ahli gabungan lain.

Ia menjadi tumpuan peminat TRW bagi menyaksikan presiden baru yang akan memimpin Kafa untuk empat tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 8/9/2017

- Advertisement -