Apa disebalik tekad DAP untuk tawan Johor?

- Advertisement -

SASARAN DAP untuk memerintah negeri Johor pada PRU14 nanti adalah tekad yang penuh kemusykilan dan perlu dilihat secara kritikal oleh rakyat negeri ini. Ia wajar disangsikan untuk parti cauvinis itu memerintah negeri yang majoriti rakyatnya terdiri daripada Melayu-Islam. Malah, kesungguhan DAP itu mengatasi dan mendahului rakan-rakannya yang lain dalam Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Apatah lagi perkara itu disuarakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang membuktikan bahawa PAN, PPBM dan PKR hanyalah menurut kehendak dan perintah dari DAP. Kit Siang sendiri bertanding di Gelang Patah dahulu atas kerja kuat pihak lain. Kini perkhidmatannya di Parlimen itu mengecewakan penduduk. Jadi bagaimana pula mahu memerintah negeri ini melainkan DAP punya agenda terselindung.

Johor selalu disebut sebagai bumi strategik yang menjadi perhatian pihak asing dengan pelbagai motif terutama berkaitan penguasaan dan pemilikan material. Ketika sama media sosial turut memaparkan usaha Evangelis Kristian menjalankan kegiatan memurtadkan umat Melayu-Islam di negeri ini. Dari sudut ekonomi, Johor menerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) tertinggi dalam Malaysia.

Apakah ini semua ada kaitannya dengan hasrat DAP itu? Kerana parti itulah yang dilihat cenderung berurusan dengan pihak asing. Malah, banyak penyataan mengenai hubungan DAP dengan gerakan Evangelis tidak dinafikan parti itu. Mungkinkah Johor juga direncanakan sebagai lubuk pemilikan material terutama hartanah sebagaimana berlaku di Pulau Pinang hingga akhirnya penduduk asal terusir?

Kejayaan FDI Johor barangkali sengat mengiurkan buat DAP di mana Pulau Pinang dan Selangor yang turut punya FDI memberangsangkan hampir berada dalam genggaman mereka. Kerana sememangnya diketahui umum parti itu berpolitik dengan kekuatan pembiayaan dan dana termasuk kepada sekutu-sekutunya. Kerana itu dalam peluang menjana dana mereka boleh bersama dengan BN.

Anehnya, dalam nafsu DAP mahu menawan Johor, tidak pula dilihat mereka sasarkan Umno-BN Johor. Sebaliknya DAP melalui Kit Siang ghairah membuat komentar negatif bertali arus terhadap PAS. Mengapa, DAP dengan angkatan bersama PH menyerang PAS yang bersendirian kerdil berbanding komponen gergasi BN? Dangkalnya, Kit Siang terus melontarkan tuduhan rekayasanya.  

Sudah berkali Kit Siang berkempen menyeru ahli PAS untuk membuang Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebaliknya ahli PAS semakin teguh di bawah teraju ulama itu. Kini dijajanya fitnah untuk memperdayakan umum dengan propaganda bahawa undi PAS bersamaan undi Umno. Modal tipikal yang diulang-ulang Kit Siang termasuk memburuk-burukkan batang tubuh Presiden PAS.

Kit Siang mendakwa Tuan Guru Abdul Hadi tidak seperti pemimpin tertinggi PAS terdahulu iaitu Haji Yusof Rawa, Datuk Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat. Walhal DAP tidak pernah kekal dalam hubungan bersama PAS ketika era ketiga-tiga almarhum. Malah, sikap keras, angkuh, biadab dan mengugut sering DAP ajukan atas ketegasan mereka mempertahankan prinsip Islam.

Kit Siang sebagai pemimpin senior serta pengalaman lama DAP dalam politik negara sebenarnya cuba menutup dan menafikan kebangkitan lebih kuat PAS di arena politik negara. DAP merasa PAS sebagai ancaman serta punya keupayaan muncul selaku ‘King Maker’ politik negara. Ia samalah keengganan kaum Musyrikin mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW walaupun mereka mengetahuinya.

Maka atas segala keterdesakan DAP bagi menyekat kemaraan PAS, mereka sebenarnya membuka jalan kepada BN untuk menidakkan keupayaan PAS. Ketika sama, komponen PH diperalatkan sepenuhnya untuk mengucar-kacirkan keadaan. Atas itu kami turut menyokong penyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa undi PH bererti memberi undi kepada DAP.

AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Johor
7 September 2017 | 16 Zulhijjah 1438 – HARAKAHDAILY 7/9/2017

- Advertisement -