Konvensyen Kebajikan PAS menebar mutiara kesejahteraan

faizal
- Advertisement -

TATKALA suasana siasah tanah air berhadapan dengan pelbagai cabaran identiti, dengan izin dan kehendak Allah kami dapat terus fokus di tengah-tengah masyarakat. Acuan Islam yang telah sebati dengan pergerakan Parti islam Se-Malaysia (PAS) sangat memberi ketengangan untuk kami melayari bahtera besar ini di tengah lautan biarpun bergelora.

- Advertisement -

 Agenda kesejahteraan dan berkebajikan tidak lagi asing bagi kami. Menebarkan mutiara kesejahteraan untuk kepentingan sekalian rakyat bukanlah suatu yang baru buat kami.

 Justeru, memperkasakan budaya politik yang bersifat dengan nilai-nilai kematangan untuk kesejahteraan rakyat terus jadi keutamaan. Demikianlah kami merangka program demi program bagi menyerlahkan Islam itu rahmat.

Sekitar jam 10.30 pagi, Sabtu 26 Ogos lalu, saya tiba di Pulau Mutiara. Saudara Norazman Ishak pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pulau Pinang terus mengatur program sulung kami dalam siri program sehari lajnah di pulau ini.

Lautan Selat Malaka kami seberangi menuju ke Bagan Jermal sebagai destinasi pertama kami. Ziarah pertama lajnah ialah sebuah institusi latihan kendiri bagi golongan OKU penglihatan. St Nicholas Home bukan lagi asing buat kebanyakan komuniti OKU penglihatan.

Institusi yang ditubuhkan sejak sebelum merdeka ini menyediakan pelbagai latihan kendiri untuk OKU penglihatan seawal peringkat pra sekolah hinggalah usia emas. Pelbagai latihan disedikan termasuklah anyaman, kraftangan rotan, urutan dan latihan komputer serta sebaran maklumat. Hampir satu jam setengah kami yang disertai juga ahli jawatankuasa LKKP Plulau Pinang, Saudara Saiful beramah mesra dengan petugas di sana.

Selesai menemani pengerusi LKKP Pulau Pinang di St. Nicholas Home, kami menaiki feri membelah Selat Melaka untuk ke Seberang Perai. Destinasi kedua kami ialah sebuah pusat refleksologi kendalian OKU penglihatan. Dalam suasana hujan rintik di birai feri, sempat kami berbincang sambil memperkuat tautan persaudaraan dalam mengharungi liku-liku perjuangan.

Sekitar jam 3:30 petang, kami tiba di Aroma Reflexologi, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai. Setelah beramah mesra dengan paran pengusaha sekitar 45 minit sambil membincangkan program-program yang akan dilaksanakan sempatlah Pengerusi LKKP Pulau Pinang menyampaikan buah tangan sebagai tanda ingatan.

Konvensyen Kebajikan PAS Negeri Pulau Pinanng 2017 telah berlangsung pada keesokan harinya di Masjid At-Taqwa, Kepala Batas. Konvensyen yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, AlFadhil Ustaz Fauzi Mohd Yusof itu nyata mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

Konvensyen yang dirasmikan pada jam 9.45 pagi itu disertai oleh setiap wakil dari dewan-dewan dan seluruh kawasan dari Pulau Mutiara tersebut. Aturcara konvensyen dimeriahkan dengan penyerahan Al-Quran braille yang diterbitkan oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia “Pertis Malaysia” oleh pengerusi LKKP Pusat kepada wakil penerima di Pulau Pinang sebaik selesai ucapan perasmian.

Kesiapsiagaan jentera PAS Pulau Pinang bertanding di 20 Dewan Undangan Negeri disemarakkan dengan pembentangan pertama oleh pengerusi LKKP Pusat, Dr Rosni Adam yang juga merupakan ahli jawatankuasa PAS Pusat. Saya meneruskan acara dengan pembentangan berkaitan gagasan OKU muqarabun buat pendedahan awal kepada sidang peserta.

Pengisian buat sidang peserta diteruskan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat merangkap Timbalan Pengerusi LKKP Pusat, Dr Azman Ibrahim. Para peserta diberi pendedahan bagaimana kebajikan itu perlu sentiasa dijadikan agenda dan keutamaan dalam masyarakat.

Puan Marlina Amir Hamzah merancakkan perbincangan bersama peserta berkaitan pemerkasaan pembangunan keluarga dari kalangan ahli-ahli PAS, pendukung parti dan bagaimana ia perlu dicerna kepada masyarakat. Dalam pada itu, Wan Mustaffa Wan Abdul Razak yang lebih kami kenali dengan jolokan Pak Wan membentangkan perihal Skim Kifalah Ahli-ahli PAS “Skimpas” yang diinisiatifkan oleh LKKP Pusat untuk kemanfaat ahli pada waktu-wkatu yang tak terduga.

Dalam sesi perkongsian pada akhir konvensyen, para peserta turut diberi perkongsian berkaitan gerak kerja lajnah dalam menyantuni para petugas dan murabitun parti. Begitu juga perihal Pusat Aduan Sosial PAS yang sedang dilaksanakan oleh LKKP Pusat di bawah pengarahan Cikgu Yusoop Abdul Hamid.

Konvensyen Kebajikan PAS Pulau Pinang yang turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil-wakil lajnah pusat tersebut melabuhkan tirainya sekitar jam 2.00 petang. Konvensyen peringkat negeri yang pertama kali diadakan ini adalah kelangsungan usaha PAS dalam mengenengahkan konsep sejahtera dan kebajikan yang sedia dimaklumi telah dijuarai oleh para pendukung Islam turun temurun dalam tamadun dunia.

Salam Idil Adha dari LKKP Pusat. – HARAKAHDAILY 3/9/2017

- Advertisement -