Beranikah MB Negeri Sembilan lawan arus?

- Advertisement -

MENTERI  Besar Negeri Sembilan boleh dinobatkan sebagai manusia yang juga mempunyai keberanian.

- Advertisement -

Datuk Seri Mohammad Hassan,  menongkah arus,  apabila dalam perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Kota Tinggi secara lantang menyebut bahawa Umno bukan lagi satu-satunya parti politik Orang Melayu.

Sebaliknya PAS dan beberapa parti lain katanya boleh menjadi alternatif dan wadah kepada orang Melayu.  Kenyataan berbaur peringatan kepada Umno khasnya kepimpinan Datuk Seri Najib Razak itu dilihat sebagai satu lagi percubaan menentang arus, walaupun dalam nada yang sedikit berhemah.

Mohammad Hassan seperti diketahui umum antara mereka yang disenaraikan sebelum ini antara empat MB yang kononnya bakal digugurkan oleh Najib,  cuma pelan itu tidak menjadi akibat ‘pecah awal’ dan menyebabkan Najib terpaksa kona baring menyelamatkan bahteranya yang hampir karam.

Demi takut kehilangan kuasa dan tindakan undang-undang mungkin bakal menantinya jika tidak lagi menjadi Perdana Menteri, Najib Razak adalah pemimpin paling kerap memainkan sentimen seolah-olah Umno satu-satunya parti pembela kepada orang Melayu.

Antara kata-katanya ialah orang Melayu akan jadi bangsat jika Umno kehilangan kuasa, di samping mereka juga didakwanya tidak lagi menjadi kaum yang akan diberi keutamaan di negara ini.

Seiring itu, ramuan menakut-nakutkan orang Melayu itu direncahkan lagi dengan gambaran kononnya selepas Umno hilang kuasa, namun Najib lupa bahawa jika Umno kalah, maka PAS lah yang akan menjadi parti Melayu yang  menang.

Beberapa pemimpin Umno juga kerapkali mendendangkan lagu yang sama seolah-olah parti itu mesti dikekalkan berkuasa sehingga kiamat.

Barangkali apa yang diingatkan Mohammad Hassan itu sebagai satu petanda baharu bahawa MB Negeri Sembilan ini bakal mengakhiri hayat politiknya yang dijangka hingga PRU14 apabila Najib sebenarnya sudahpun mula mengintai calon lain untuk menerajui Negeri Sembilan selepas ini andai BN terus berkuasa di negeri ini.

Seperkara lagi, ada telahan teman-teman di negeri ini menyebut, Mohammad Hassan mungkin sekali akan ditolak bertanding ke Parlimen sekiranya dia kekal bersama BN untuk penggal akan datang sementara mahu dikerat terus Najib tanpa sebarang posisi dalam pentadbiran negeri mahupun negara.

Sama-sama kita saksikan keberanian Mohammad Hassan menongkah arus memukul badai, atau sebaliknya beliau akan menutup terus mulut agar dapat kekal menerajui negeri Adat Perpatih sementelahan BN ketandusan calon MB berkaliber. – HARAKAHDAILY 3/9/2017

- Advertisement -