Gembira nikmati hidup berhidayah penuh sejahtera

nik abduh1
- Advertisement -

DISYARIATKAN dua hari raya dalam Islam agar umat Islam bergembira dengan kehidupan berhidayat. Ia juga agar umat Islam memahami bahawa kegembiraan hidup bermaksiat dan tanpa hidayah adalah tipu daya dan amalan syaitani yang mesti dijauhi dan ditinggalkan.

- Advertisement -

Islam adalah perlumbaan untuk hidup melakukan pengabdian terbaik kepada Allah. Justeru Allah melorongkan kita kepada jalan kegembiraan pada Hari Raya Idil Fitri setelah kita berjaya membina hubungan terbaik dengan Allah sepanjang tahun melalui kecemerlangan ibadah puasa dan qiamullail pada sepanjang bulan Ramadhan.

Pada Hari Raya Idul Adha, kecemerlangan ibadah kepada Allah dibuktikan melalui keikhlasan dan pengorbanan demi kecintaan dan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pengagungan terhadap sejarah pengorbanan datuk kita Nabi Ibrahim yang bersedia menyembelih anaknya Nabi Ismail alaihimassalam dengan arahan tuhannya. Ia mempersembahkan satu mercu pengorbanan tertinggi seorang hamba kepada tuhannya demi cinta yang kudus kepada-Nya.

Idil Adha diikat dengan ibadah haji di Kota Makkah yang agung yang dipenuhi manasik penghidupan terhadap sejarah pengorbanan datuk kita itu. Ketika jutaan saudara kita umat Islam melaksanakan manasik haji pada hari-hari Zulhijjah penuh suci, kita diminta mengingati dan meniru-nirunya melalui ibadah Idil Adha yang dihiasi dua ibadah utama iaitu solat hari raya dan ibadah korban.

Dengan berpakaian bersih cantik ke masjid dan pengagihan daging korban kepada sesama umat Islam selepas itu, ia mencetuskan suasana kegembiraan menikmati kehidupan berhidayah penuh kesejahteraan.

Selamat Hari Raya Idil Adha 1438 Hijriah.

- Advertisement -