Syabas atlet wanita menjaga aurat

- Advertisement -

SABDA Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar (bermaksud): “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

- Advertisement -

Tidak dapat disangkal bahawa agama Islam tidak pernah menghalang kaum wanita melibatkan diri mereka di dalam sukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira dan dipraktikkan oleh muslimah dalam bersukan. Syarat yang utama adalah menjaga aurat dengan memakai pakaian menurut syariat.

Selain itu juga, dalam bersukan muslimah tidak harus mereka memperlihatkan liuk lintuk dan lenggang lenggok yang menggoda. Begitu juga dalam menyokong perlu menjaga etika. Menang dan kalah dalam pertandingan perlu akur dan menerima dengan hati terbuka.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua para atlet yang menjaga aurat sepanjang kejohanan Sukan SEA, dan kami mendoakan kejayaan yang seterusnya untuk kejohahan dan acara yang akan datang.

Bersukan dapat memupuk tali persaudaraan antara masyarakat setempat, negara dan bangsa di dunia. Bermakna sukan bukan saja menguji kekuatan fizikal dan mental malah membina hubungan ukhuwah serta silaturahim demi perpaduan ummah sejagat. Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki. Peraturan umum dalam syari`ah ialah apa-apa perbuatan yang melampaui batas sama ada dalam makan, minum, berpakaian atau sebagainya, adalah dilarang.

Allah berfirman (maksudnya): “Hai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”(Al-Ma’idah: 87)

Tahniah sekali lagi kepada semua para atlet Malaysia yang berjaya menggondol pingat dan mencipta rekod-rekod baharu kejohanan. Semoga terus mara dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia! Bangkit bersama. Tahniah Wira dan Wirawati Malaysia!

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

Dr Rosni Adam
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Zulhijjah 1438 / 30 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 30/8/2017

- Advertisement -