Memali: Usaha kerajaan halang Islam bangkit

- Advertisement -

TRAGEDI berdarah di Kampung Memali di pedalaman Baling pada 10 November 1985 disifatkan anak mangsa, dicetus kerana pemerintah tidak senang dengan kebangkitan Islam.

- Advertisement -

Anak Allahyarham Ustaz Mat Piah Yunus mendakwa tidak lojik sama sekali Ustaz Ibrahim Libya mahu mencetus revolusi Islam seperti digambarkan kerajaan dalam kertas putih.

Ustaz Zuhdi Mat Piah berkata, Ustaz Ibrahim pernah berkhidmat di bahagian dakwah di Pusat Islam di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Katanya, selepas kembali daripada belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir, India dan Libya beliau berkhidmat dengan kerajaan.

“Bagaimana kemudiannya Ustaz Ibrahim berhenti di JPM dan kembali ke kampung bagi membuka kelas agama bagi mendidik masyarakat dengan ajaran Islam,” katanya ceramah di Pekan Tumpat malam tadi.

Hadir sama anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua Pemuda PAS Tumpat, Ustaz Hushaimin Hussian.

Sebelum ceramah berlangsung diadakan tayangan skrin besar perlawanan akhir bola sepak sukan SEA antara Malaysia dan Thailand.

Zuhdi juga berkata, tuduhan Ustaz Ibrahim mengumpul senjata, membuat tangkal dan menjampi air kolah adalah tidak berasas.

Menurutnya, selepas kejadian tembakan berlaku sehingga membunuh 14 orang penduduk bersama Ustaz Ibrahim tidak pula ditemui sebarang senjata seperti didakwa kerajaan.

“Ayah saya, Ustaz Mat Piah yang menjadi perantara berunding dengan polis juga ditembak dengan terkena sebanyak 14 peluru.

“Ayah sempat hidup selama 16 tahun selepas tragedi Memali berlaku. Beliau meninggal pada 2001.

“Pernah ketika datang berceramah di Kelantan, seorang bekas anggota polis yang diarah mengepung rumah Ustaz Ibrahim datang memohon maaf kerana terbabit dengan kejadian tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/8/2017

- Advertisement -