Siasat, Mohon Maaf Kepada Keluarga Mangsa

- Advertisement -

TRAGEDI Memali memalit kisah duka buat Ustaz Yusni Mat Piah, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang ini. Peristiwa sedih itu memangsakan ayahandanya, Allahyarham Ustaz Mat Piah Yunus yang juga saksi mata kekejaman ketika itu. Wartawan NAZIRAH NASRUN sempat merakam kemas luahan rasa Ustaz Yusni semasa pertemuan di Pejabat Harakah 23 Ogos lalu. Ikuti titipan khas anak mangsa Memali ini megungkap kisah benar 32 tahun lalu.

- Advertisement -

Harakah: Sebagai anak kepada salah seorang mangsa tragedi Memali, boleh anda imbas semula detik bagaimana tercetusnya insiden berdarah itu? (bold)

Ustaz Yusni: Terima kasih kepada Harakah kerana menjemput saya untuk menjelaskan secara terperinci ataupun membongkar isu tragedi pembunuhan beramai-ramai di Kampung Memali, Baling Kedah. Tragedi berdarah 19 November 1985 berlaku hampir 32 tahun yang lalu. Sekarang ini sudah 31 tahun lebih peristiwa tersebut berlaku, kebenarannya masih ditutup oleh pihak kerajaan. Hikmah Allah SWT dengan program Nothing To Hide 2.0 yang melibatkan Tun Mahathir di Shah Alam beberapa hari yang lepas, apabila ada soalan yang diajukan berkaitan dengan tragedi Memali- respon daripada Tun Mahathir yang mengatakan bahawa itu adalah Standard Operation Procedure (SOP) pihak polis ketika bertindak jelas merupakan satu jawapan yang tidak bertanggungjawab.

{mprestriction ids=”1,2,4,5,”}

Dengan sebab itu ada yang tidak berpuas hati maka berlaku insiden sebagaimana kita semua sedia maklum. Oleh itu kita hendak supaya peristiwa Memali ini mesti didedahkan supaya kebenaran itu terserlah. Ia melibatkan nyawa as-syahid Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya yang terbunuh dan juga sebahagian penduduk Kampung Memali yang terlibat. Yang terkorban, yang cedera, yang ditangkap, yang ditahan dan sebagainya. Ini suatu tindakan yang tidak wajar.

Suatu tindakan yang kita sebut sebagai kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang mana ketika itu Tun Mahathir adalah Perdana Menteri.

Punca tragedi Memali tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan oleh waran yang dikeluarkan untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya untuk ditahan di bawah Kem Perlindungan Keselamatan (ISA) tanpa bicara. Ustaz Ibrahim Libya ialah seorang ulama, pimpinan PAS yang tegas yang tidak bersedia untuk ditahan tanpa bicara. Kalau bersalah mesti dihadapkan ke mahkamah, dibicara dan dipenjarakan. Akan tetapi untuk menyerah ataupun ditangkap di bawah ISA, sama sekali beliau tidak akan membenarkan dirinya ditahan. Atas waran tersebut pihak polis gagal untuk menangkap beliau, maka berlakulah apa yang kita semua sedia maklum.

Apabila pihak polis, kerajaan Malaysia telah mengarahkan satu operasi yang disebut sebagai Operasi Hapus maka nama operasi itu pun kita tahu bahawa mereka memang hendak ambil Ustaz Ibrahim Libya sama ada hidup ataupun mati.

Harakah: Berapa ramai anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi tersebut dan apakah sebenarnya yang berlaku?

Operasi Hapus yang melibatkan lebih 3,600 orang anggota polis dengan diketuai oleh salah seorang pegawai daripada Bukit Aman iaitu Datuk Yahya Ayub sebagai Pengarah Operasi. Peristiwa yang berlaku pada hari Selasa 19 November 1985 selepas solat Subuh; menyaksikan bagaimana penduduk Kampung Memali dan kampung sekitarnya dikejutkan dengan kehadiran begitu ramai anggota polis, trak-trak polis yang datang daripada arah Baling, Memali dan juga atas iaitu daripada Kampung Tanjung Pari juga menuju ke Memali. Ini menyebabkan orang kampung yang ketika itu sedang dalam persiapan untuk keluar bekerja, menoreh, ke kebun, ke ladang dan seumpamanya berasa panik maka ramai yang datang ke rumah Ustaz Ibrahim Libya untuk melindungi beliau.

Mereka tahu bahawa polis datang itu tidak lain tidak bukan adalah untuk menangkap beliau. Mereka tidak bersedia untuk melepaskan Ustaz Ibrahim Libya. Mereka sangat sayang dan hendak mempertahankan Ustaz Ibrahim Libya maka kami menyaksikan bagaimana kawasan rumah Ustaz Ibrahim Libya dikepung oleh lebih 3,000 orang anggota polis ketika ini. Pada peringkat awal mereka melepaskan gas pemedih mata sehingga mengakibatkan anak bongsu Ustaz Ibrahim Libya bernama Syuhada yang ketika itu baru berusia 10 bulan pengsan. Seorang kanak-kanak perempuan bernama Nazirah yang baru berusia 12 tahun terkena tembakan daripada gas pemedih mata itu; kelongsongnya terkena di kepala lalu terkoyak kulit dan berdarah menyebabkan seorang daripada pengikut Ustaz Ibrahim Libya- Cikgu Shafie yang hilang sabar, tidak boleh tengok keadaan budak pengsan dan berdarah maka dia keluar daripada kawasan rumah itu dalam keadaan dia memegang parang di tangan dan meluru ke arah polis berakhir dengan dirinya ditembak.

Maka kita melihat seorang daripada penduduk kampung sedari awal telah ditembak oleh polis. Selepas itu baru diarahkan oleh Ustaz Ibrahim Libya yang meminta agar pintu pagar rumahnya diikat, jangan ada yang keluar ke jalan. Berlaku apa-apa pun dalam kawasan rumah sahaja. Apabila pihak polis gagal setelah mereka melepaskan gas pemedih mata ini, hendak bagi orang kampung keluar menyerah diri; anak-anak murid Ustaz Ibrahim Libya dan penduduk sekitar- dalam kawasan rumah anggarannya lebih 100 orang.

Ini termasuk wanita, orang tua, kanak-kanak dan mereka bertahan. Selepas daripada itu barulah hendak diadakan rundingan dengan Datuk Yahya Ayub diiringi oleh anggota polis datang menghampiri pintu pagar Ustaz Ibrahim Libya yang telah diikat di bahagian luar. Diminta wakil bagi pihak Ustaz Ibrahim Libya untuk berbincang, maka yang mewakilinya adalah ayah saya Allahyarham Mat Piah Yunus atau dikenali sebagai Pak Teh Mat Piah yang juga adalah mangsa. Beliau berbincang dengan Datuk Yahya Ayub, antara perbincangan itu- apa yang disebut oleh ayah saya bahawa Datuk Yahya Ayub adalah meminta supaya pihaknya hendak mengambil ataupun menangkap 3 orang penjenayah.

{/mprestriction}

- Advertisement -