PH akan kalah tanpa sokongan majoriti pengundi Melayu-Islam

- Advertisement -

PUSAT Penyelidikan PAS (PPP), mengikuti pembentangan hasil tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) petang semalam. PPP menghormati dapatan kajian IDE tersebut, walaupun kami mempunyai pandangan yang agak berbeza. Pada pandangan PPP, 89 kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, adalah jumlah yang paling maksimum yang mampu dicapai oleh Pakatan Harapan (PH) sekiranya bergabung dengan PAS, apatah lagi jika PAS tidak bersama-sama pakatan tersebut.

- Advertisement -

Kami berpandangan, tiada kerusi lagi yang mampu ditambah oleh PH+PAS setelah sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu-Muslim telah sampai ke tahap yang paling maksimum. Hanya satu cara sahaja lagi untuk PH+PAS boleh memecah angka maksimum itu, iaitu dengan memperolehi majoriti sokongan pengundi-pengundi Melayu-Muslim. Bagaimanapun sokongan mereka tidak mungkin boleh dicapai jika DAP dan PAN bersama gabungan itu. Kedua-dua parti itu dilihat oleh masyarakat Melayu-Muslim sebagai anti Melayu dan menentang agenda Islam.

Kemasukan PPBM ke dalam PH sememangnya boleh menambahkan peratus sokongan pengundi-pengundi Melayu-Muslim, tetapi peratusnya sangat kecil. PPP menganggarkan peratus pengundi Melayu-Muslim yang mampu ditarik oleh PPBM sekitar 7%. Sebaliknya kemasukan parti tersebut, yang dibarisi oleh golongan ultra-nasionalis Melayu termasuk ahli-ahli PERKASA, akan menyebabkan pengundi bukan Melayu-Muslim lari dari PH untuk mengundi BN semula. Hasilnya kemasukan PPBM tidak akan memberi nilai tambah untuk kemenangan PH.

Fenomena pengundi-pengundi bukan Melayu-Muslim khususnya pengundi Cina, lari dari PH setelah kemasukan golongan ultra-nasionalis Melayu PPBM, adalah suatu realiti yang sedang berlaku sekarang. Peralihan ini mulai dapat dilihat dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Berdasarkan tinjauan PPP, peratusan pengundi Cina yang lari dari PH sekarang adalah sekitar 25%. Oleh sebab itu, BN telah meraih sekitar 35% pengundi Cina, dan ini merupakan satu lagi berita buruk kepada PH, setelah mereka kehilangan pengundi-pengundi PAS.

Selain daripada itu, gabungan ini PH+PAS adalah hampir mustahil boleh berlaku pada masa kini, kerana PAS sendiri sekarang mensasarkan untuk menafikan peluang DAP memerintah semula Pulau Pinang dan mengalahkan DAP di beberapa kerusi parlimen dan DUN yang mereka tandingi di Pahang, Perak dan Selangor. Oleh yang demikian, sekiranya DAP dan PAN terus berada dalam PH, tidak mungkin akan berlaku ‘electoral pack’ dengan PAS. Malah PAS pula telah lama bersedia untuk bertanding tiga penjuru, dengan perancangan strategi dan kemantapan jentera.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
29 Ogos 2017 / 7 Zulhijjah 1438 – HARAKAHDAILY 29/8/2017                      

- Advertisement -