Bukan ‘Amanat Haji Hadi’ Punca Tragedi Memali

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuduhan sembrono pihak-pihak tertentu yang mengatakan tragedi berdarah Memali yang berlaku pada tahun 2015 lalu berpunca daripada Amanat Haji Hadi ternyata amat jahat dan tidak berasas.

- Advertisement -

Sebaliknya, realiti sebenar kejadian itu kerana kerakusan penguasa pada ketika itu untuk mengekang pengaruh PAS dalam masyarakat yang dianggap sebagai ancaman kepada kuasa mereka.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, suara Islam dan tiupan kesedaran beragama dan berpolitik memperjuangkan Islam di kalangan rakyat pedalaman seperti Baling, khususnya Kampung Memali, dianggap sebagai satu ancaman bagi penguasa yang tidak mesra dengan pendekatan Islam pada ketika itu.

Menurutnya, lalu berlakulah tragedi berdarah itu yang masih misteri sebahagian perincian peristiwanya sehingga ke hari ini yang turut mendesak PAS menuntut supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi merungkai peristiwa itu.

{mprestriction ids=”1,2,4,5,”}

Katanya, dalam masa yang sama, PAS juga menggesa kerajaan memberikan peluang kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan Amanat tersebut di media perdana kerajaan seperti RTM dan TV3 agar rakyat dapat menilai hakikat sebenar intipati Amanat tersebut.

“Amanat Tuan Guru Haji Hadi adalah sedutan ceramah beliau pada 7 April 1981 di Kampung Banggul Peradong, Parlimen Kuala Nerus. Isi kandungan Amanat tersebut selaras dengan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah kerana ia menggariskan batas-batas iman dan kufur, konsep Amar Makruf Nahi Mungkar dan menjelaskan kewajipan menegakkan undang-undang Islam menggantikan undang-undang Jahiliyah.

“Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Maidah, ayat 50 yang bermaksud: “Adakah hukum perundangan Jahiliyah yang mereka cari? Dan siapakah lagi terlebih baik hukum perundangannya berbanding Allah bagi kaum yang sentiasa yakin”,” katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakah, 24 Ogos lalu.

Beliau menegaskan, Imam Ibnu Kathir, seorang tokoh Tafsir membuat contoh perundangan Jahiliyah itu ialah seperti perundangan yang digunakan oleh pemerintah Tatar yang merupakan hasil gabungan undang-undang Nasrani, Yahudi dan Islam apabila mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Abbasiyah dan menjajah Baghdad pada pertengahan kurun ke-7 hijrah.

Katanya, Amanat Tuan Guru Haji Hadi menjelaskan sebab pertembungan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar iaitu PAS dan Umno pada ketika itu, tahun 80-an, iaitu antaranya kerana mengekalkan undang-undang Jahiliyah bercanggah dengan Islam.

“Ia menggerakkan pendokong PAS untuk berdakwah menjelaskan kewajipan menegakkan undang-undang Islam dalam negara. Hasil dakwah yang panjang, pada hari ini selepas 36 tahun Amanat itu, masyarakat semakin faham kewajipan mereka menegakkan undang-undang Islam dalam semua aspek kehidupan. Malah ahli dan sebahagian pimpinan parti Umno juga mula berbicara tentang perundangan Islam,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, kata-kata menghina perundangan jenayah Islam yang boleh merosakkan akidah seperti “Habislah tangan orang Islam dipotong sekiranya dilaksanakan Hudud” semakin menyepi dan sudah ditolak oleh masyarakat Islam hari ini.

PAS, menurut beliau, menerusi kuasa yang ada telah menggubal undang-undang jenayah Islam di Kelantan pada 1993 dan di Terengganu pada 2002 bagi menegaskan kewajipan menegakkan perundangan Islam dalam aspek jenayah yang diabaikan oleh pemerintah umat Islam.

“Pada hari ini lahir para peguam muslim yang mengajak rakyat mentafsirkan kembali peruntukan perlembagaan “Islam Agama Persekutuan” dengan roh Islam dalam usaha menegaskan kedaulatan Islam dalam negara ini.

“Ia selaras dengan apa yang selalu disebut oleh Presiden PAS iaitu keperluan mentafsirkan perkataan Islam dalam perlembagaan itu sebagai “ad-Din” yang mencakupi semua keperluan hidup dan bukannya mentafsirkannya menurut tafsiran penjajah iaitu Islam sebagai agama untuk amalan ritual sahaja,” katanya.

Dalam Amanat tersebut juga, tegas beliau, Tuan Guru Abdul Hadi menyebut: “Seorang muslim tidak perlu menjadi Hindu atau Budha atau masuk Yahudi atau Nasrani tetapi boleh menjadi kufur dengan menyatakan politik suku agama suku.”

Jelas Dr Mohd Khairuddin, ia adalah penjelasan terhadap konsep batas-batas iman dan kufur dalam Islam, malah kenyataan itu sangat tepat dengan prinsip Islam kerana Islam tidak boleh dipisahkan dengan politik pemerintahan.

“Malah Nabi (saw) dan sahabat kanan yang empat iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radiyallahu anhum menjadi pemerintah dan Khalifah Islam, berpolitik memerintah negara Islam Madinah,” jelasnya.

Pemikiran “politik suku agama suku”, menurut Dr Mohd Khairuddin lagi, adalah pemikiran songsang Barat hasil pertembungan antara ahli politik dengan gereja di Eropah, lalu lahirlah ungkapan terkenal “biarkan apa yang menjadi milik raja kepada raja dan apa yang menjadi milik Tuhan kepada Tuhan.”

Demikianlah, katanya, Amanat itu telah menyumbang untuk membetulkan kefahaman masyarakat terhadap batas-batas iman dan kufur serta kewajipan menegakkan Islam sebagai asas perundangan negara.

{/mprestriction}

- Advertisement -