‘Green4U’ tema jentera pilihan raya Pemuda PAS Selangor

- Advertisement -

PROGRAM Tsunami Hijau Selangor di Pandan malam tadi mencipta sejarah dengan perasmian tagline “Green4U” sebagai kempen Jentera Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) dalam menawan sokongan pengundi muda di seluruh negeri.

- Advertisement -

Program yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti khidmat masyarakat, sukan dan kesenian sepanjang pagi hingga ke malam memberi gambaran bahawa pemuda PAS sudah bersedia dan bersiaga untuk berhadapan dengan Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa.

Program diserikan dengan kehadiran Datuk Iskandar Abd Samad, Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan yang meluangkan masa hampir keseluruhan program yang dijalankan.

Pengarah program yang juga Pengarah Pilihanraya DPPNS, Rosli Jusoh berkata tagline ‘#Green4U’ atau ‘Hijau Untuk Anda’ menggambarkan bahawa PAS adalah pilihan terbaik yang telah bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dalam membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat di Malaysia, khususnya di Selangor.

Tagline “Green4U” telah dirasmikan oleh Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Fadhli Shaari malam tadi yang berpuas hati dengan kesungguhan pemuda PAS Selangor dalam menghadapi PRU14 dan merealisasikan hasrat parti sebagai peneraju utama Kerajaan Negeri Selangor.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim yang turut berucap telah meletakkan hashtag tersebut menjadi motto bagi gerak kerja pemuda dalam memenangi PRU14 di negeri itu.

Turut hadir dan berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Sallehen Mukhyi serta setiausaha dan ketua penerangan DPPM, Ustaz Afnan Hamimi dan Hishamuddin Abdul Karim. – HARAKAHDAILY 27/8/2017

- Advertisement -