Futsal Merdeka: SBT Junior juara

- Advertisement -

DALAM usaha menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan pemuda dengan aktiviti yang bermanfaat, pihak Department of Art, Culture & Sport (DACS) Dewan Pemuda PAS Kawasan Putatan telah menganjurkan kejohanan tertutup Futsal Merdeka 2017, bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang semakin hampir.

- Advertisement -

Kejohanan yang bertempat di gelanggang futsal UTC Sembulan itu disertai oleh kira-kira 70 orang peserta yang terdiri daripada 8 pasukan yang bertanding.

Sepanjang perlawanan berlangsung, para pemain dari setiap pasukan menunjukkan kemahiran dan cara bermain masing-masing serta tetap mematuhi peraturan permainan.

Sistem permainan kalah mati dalam 8 pasukan yang bertanding menyaksikan sebanyak 8 siri perlawanan dan pasukan SBT Junior telah berjaya menewaskan pasukan Belia Masjid Sembulan FC dalam perlawanan akhir, sekaligus menjuarai kejohanan Futsal Merdeka 2017 ini manakala pasukan Tanjong Aru FC berjaya mendapat tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS Putatan, saudara Asrul bin Samat.

Beliau dalam ucapan perasmiannya telah menyatakan bahawa program sukan pada hari tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan dewan pemuda PAS Putatan khususnya kepada para pemuda, selain daripada beberapa mekanisme program yang telah dianjurkan sebelum ini, seperti pendidikan, program sukan permotoran, bimbingan kerjaya, kebajikan dan kemasyarakatan serta pembangunan modal insan.

Beliau menambah, menjaga kesihatan dan kecergasan tubuh badan merupakan perkara yang sangat dianjurkan oleh Islam, supaya kita menjadi muslim yang aktif dan produktif. – HARAKAHDAILY 27/8/2019

FutMer 3

FutMer 1

- Advertisement -