Tuan Ibrahim jawab fitnah Straits Times Singapura

- Advertisement -

TIMBALAN Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan fitnah media begitu melampau sekarang.

- Advertisement -

Katanya hari ini akhbar Straits Times Singapura menyatakan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berbincang dengan Datuk Seri Najib Razak untuk jatuhkan kerajaan Selangor.

“Ini satu fitnah yang besar. Ahli parti jangan merujuk sumber-sumber musuh. Rujuk sumber rasmi parti. Jangan kita pening kepala,” katanya di munaqasah ucapan dasar presiden di Putik petang tadi.

Turut hadir Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakub, timbalannya, Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan pimpinan PAS negeri.

Akhbar Straits Times terbabit dilapor mendakwa presiden PAS berhubung dengan perdana hampir setiap malam bagi membentuk kerajaan di Selangor.

Tuan Ibrahim juga berkata musuh akan mengambil kesempatan terhadap isu ekonomi yang bermasalah sekarang.

Katanya hampir semua kajian menyatakan rakyat sangat terkesan dengan isu ekonomi.

“Sebab itu kita kena juga fokus kepada penyelesaian isu ekonomi. Isu ekonomi hanya dapat diselesaikan dengan penyelesaian Islam,” katanya.

Sebelum itu anggota Jawatankuasa PAS Pusat Dato Dr Khairuddin Aman Razali membentang kertas kerja bertajuk peraturan dan arahan.

Tuan Ibrahim juga berkata, PAS perlu pertahankan kemenangan di Kelantan sejak 1990.

Beliau juga menjangka PRU 14 kemungkinan diadakan dalam masa terdekat dengan menggunakan persempadanan lama.

Beliau menjangkakan PRU akan diadakan selepas pembentangan bajet 2018.

“Inilah masa untuk kita perkukuhkan jemaah. Tinggallah perkara yang menjadi khilaf sesama kita. Ingat pesanan presiden agar semua ahli memperteguhkan ukhwah sesama kita,” katanya.

Beliau juga berkata, Kelantan menjadi contoh kepada masyarakat luar, terutama dalam usaha memperkasakan syariat Islam. – HARAKAHDAILY 25/8/2017

- Advertisement -