PAS tidak bermusuh dengan media

- Advertisement -

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan pengamal media massa agar membuat laporan yang betul dan tepat.

- Advertisement -

Menurutnya, PAS amat menyedari betapa kekangan terhadap media berlaku di seluruh dunia termasuk di negara ini.

Namun, katanya hubungan parti itu dengan pihak media tidak putus.

Beliau menegaskan bahawa PAS tidak bermusuh dengan rakan media tetapi bermusuh dengan pihak yang bertanggungjawab menghalangnya.

“Kita menyedari media memainkan peranan yang penting dalam masyarakat untuk membuat laporan yang betul dan tepat. Walaupun kita menyedari betapa kekangan terhadap media berlaku dalam dunia, banyak negara termasuk negara kita.

“Namun, hubungan kita dengan media tidak putus. Dalam banyak-banyak yang dilaporkan itu sudah pasti ada yang sampai kepada masyarakat. Walaupun beberapa perkara yang kita tidak puas hati tapi ada perkara yang boleh disampaikan kepada masyarakat. Ini sangat penting.

“Kita tidak bermusuh dengan rakan-rakan media, kita bermusuh dengan pihak yang bertanggungjawab, yang menghalang media itu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Majlis Makan Malam Amal Media anjuran bersama Unit Media, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan Lajnah Penerangan Hubungan Media PAS Terengganu selepas menyampaikan Kuliah Mingguan Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Sehubungan itu, Tuan Guru Abdul Hadi berharap agar majlis makan malam amal seumpama itu dapat menjalinkan hubungan baik antara PAS dengan rakan media.

Beliau bagaimanapun yakin laporan yang dibuat oleh rakan-rakan media itu betul tetapi ada yang ditapis sidang pengarangnya.

“Saya mengalu-alukan majlis makan malam amal media anjuran PAS ini. Mudah-mudahan jamuan ini dapat menjalinkan hubungan yang baik antara PAS dengan media.

“Saya harap media terus membuat laporan yang betul dan tepat. Dan saya yakin mereka membuat laporan yang betul dan tepat. Bila sampai ke sidang pengarang, pihak sana pula yang membuat penapisan.

“Laporan yang betul terus disampaikan. Ini sangat penting,” tegasnya.

Majlis makan malam amal media itu, sebelum ini pernah diadakan bersama Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi sebanyak dua kali selama dua tahun berturut-turut. – HARAKAHDAILY 25/8/2017

- Advertisement -