Pertandingan dikir dakwah kebangsaan

- Advertisement -

SEBELUM ini jarang kita mendengar ada pertandingan dikir berbentuk dakwah kecuali persembahan nasyid sahaja.

- Advertisement -

Namun sempena Festival Kesenian Dakwah dan Halal Kelantan 2017, sebanyak 15 pasukan dikir barat dakwah berentap bagi merebut kejuaraan.

Pasukan terbabit menyertai saringan bagi memilih empat pasukan di pertandingan akhir dikir barat dakwah peringkat peringkat kebangsaan 2017 malam esok akan diadakan di Balai Islam, Lundang.

Festival Kesenian Dakwah diadakan bermula hari ini sehingga 27 Ogos, di Dewan Besar Balai Islam Lundang. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk penampilan khas Didi & friend, pertandingan dan pameran arnab, persembahan nasyid dan pertunjukan motor klasik.

Ia dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), Jakim dan Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ) Sdn Bhd.

Selain itu kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Institut Wasatiyyah Malaysia, Perbadanan Muzium Kelantan dan Perbadanan Perpustakaan Kelantan.

Perasmian hari ini dilakukan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dr Md Yusnan Yusof.

Turut hadir Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Shahidani Abdul Aziz; Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Datuk Ali Mohammed; Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Din Ahmad dan Timbalan Pengarah Pengurusan Jaheik, Mohd Farid Abdul Razak. – HARAKAHDAILY 24/8/2017

- Advertisement -