PAS Selangor sedia tanding 3 penjuru

- Advertisement -

PAS Selangor bersedia menghadapi pertandingan 3 penjuru atau lebih pada Pilhan raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi berkata perlu diingatkan dan ditegaskan pertembungan 3 penjuru bukan dimulakan oleh PAS, sebaliknya rekod menunjukkan bahawa DAP dan PAN terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan untuk bertanding di kerusi PAS.

“Ia merujuk kepada kenyataan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua pada 30 Oktober 2015 yang akan meletakkan calon DAP di lapan kawasan pilihan raya yang dimenangi oleh PAS. Kenyataan pimpinan DAP itu telah disusuli dengan kenyataan Pengerusi PAN Selangor Izham Hashim pada 31 Disember 2016 untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh PAS,” ujar Ustaz Sallehen dalam sidang media di Carlton Holiday Hotel &Suites, Shah Alam, hari ini.

Beliau yang juga Adun Sabak itu turut berkata bahawa pimpinan PAS Selangor berpendapat adalah wajar untuk memastikan kerusi-kerusi tradisi ditandingi PAS tidak perlu diganggu oleh DAP atau PAN malah bersedia menyahut cabaran.

Dalam waktu yang sama ulasnya, PAS turut membuka ruang perbincangan untuk memastikan kesejahteraan dan kestabilan politik di negeri Selangor dapat diuruskan.

Setelah meneliti data dan fakta serta kesediaan jentera, PAS Selangor katanya bersedia untuk meletakkan calon sekurang-kurangnya di 42 kerusi Dun Selangor pada PRU14 nanti.

“PAS Selangor yakin semua jentera dan pimpinan PAS di semua peringkat bersemangat malah bersedia untuk menghadapi PRU14 dalam mendepani parti lawan samada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH),” jelas Sallehen. – HARAKAHDAILY 24/8/2017

- Advertisement -